Dolly Parton dikenang sebagai Ratu Muzik Country

Dolly Parton dikenang sebagai Ratu Muzik Country

PEMINAT Parton melawat mural wajahnya di North Side, sehari selepas dia diumumkan meninggal dunia, di Chicago, Illionois.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENYANYI, penulis lagu, pelakon dan dermawan terkenal Amerika Syarikat (AS), Dolly Parton, yang meninggal dunia pada usia 80 tahun, dikenang sebagai Ratu Muzik Country.

Berita pemergian penyanyi itu diumumkan anak saudaranya, Brian Seaver, menerusi Instagram pada 25 Ogos lalu.

“Saya pernah membayangkan betapa beratnya saat ini, tetapi saya benar-benar merasainya hanya sekarang. Satu penghormatan yang hadir bersama rasa bangga tidak terhingga dan kesedihan yang mendalam,” katanya.

Pasukan Parton mengesahkan penyanyi itu meninggal dunia pada hari yang sama selepas berdepan dengan kanser untuk tempoh singkat.

Dibesarkan di Tennessee, Parton mula mencipta nama pada penghujung 1960-an menerusi lagu-lagu popular yang berjaya merentasi sempadan muzik country dan pop.

Sepanjang kerjaya yang menjangkau tujuh dekad, Parton menghasilkan lebih 3,000 lagu, menjual lebih 100 juta rekod di seluruh dunia dan meraih 10 anugerah Grammy.

Banyak karyanya lahir daripada pengalaman hidup sendiri, menyentuh kisah membesar dalam kemiskinan, cinta dan kehilangan, selain mengangkat tema kekuatan wanita serta kerohanian.

Menerusi lagu-lagunya, Parton bukan sekadar menceritakan kisah hidup sendiri, malah berjaya menyentuh hati jutaan peminat di seluruh dunia.

Bagi Parton, penulisan lagu juga bukan sekadar kerjaya, sebaliknya menjadi ruang meluahkan perasaan dan memahami dirinya.

“Saya menulis untuk mengekspresikan diri. Ia adalah terapi saya,” kata Parton.

WARISI BAKAT KELUARGA

Dolly Rebecca Parton dilahirkan pada 1946 sebagai anak keempat daripada 12 beradik dalam keluarga petani miskin yang menetap di Tennessee.

Bapanya, Robert Lee Parton, merupakan petani tembakau, manakala ibunya, Avie Lee, sering menghiburkan keluarga dengan lagu-lagu rakyat.

Minat terhadap muzik itu turut diwarisi daripada keluarga. Ibu saudaranya bermain gitar dan menulis lagu, manakala bapa saudaranya, Bill Owens, kemudiannya memainkan gitar ketika mengiringi Parton dalam persembahan awalnya.

Tahun-tahun tersebut menjadi langkah awal kepada perjalanan muzik Parton, sebelum gadis kecil dari Tennessee itu akhirnya muncul sebagai antara nama paling berpengaruh dalam muzik country.

Seawal usia enam tahun, Parton sudah menyanyi di gereja tempat datuknya menjadi paderi. Ketika menginjak usia remaja, bakatnya pula mula mendapat perhatian menerusi kemunculan di stesen televisyen tempatan.

Pada 1959, ketika baru berusia 13 tahun, Parton membuat persembahan bersama Uncle Bill di Grand Ole Opry di Nashville, pentas yang dianggap antara paling berprestij dalam dunia muzik country.

Dia diperkenalkan oleh legenda muzik, Johnny Cash, dan menerima tiga kali sorakan meminta persembahan tambahan daripada penonton.

KARYA MENYERLAH

Bakat Parton sebagai penulis lagu begitu menyerlah sehingga beliau menghasilkan dua karya yang dianggap antara lagu terhebat abad ke-20, Jolene dan I Will Always Love You, dalam satu hari sahaja.

Daripada ratusan lagu yang dihasilkannya sepanjang kerjaya, Parton mencipta rekod dengan 25 single menduduki tempat pertama carta muzik country AS, manakala 47 albumnya dalam kelompok 10 terbaik carta berkenaan.

Dia turut melebarkan sayap ke dunia muzik pop menerusi 9 to 5, yang menduduki tempat pertama carta AS pada 1980, selain mengukuhkan nama sebagai pelakon.

Sepanjang hayatnya, Parton kekal sebagai penghibur yang hebat bercerita melalui lagu, lakonan dan kehidupannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×