Sekuntum untuk kaki

Sekuntum untuk kaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ada kasut yang kita beli sebab perlu. Ada pula yang kita beli sebab hati sudah berkenan, walaupun dalam almari masih ada beberapa pasang yang belum sempat dipakai. Koleksi Bunga daripada Christy Ng mungkin termasuk dalam kategori kedua.

Pandangan pertama memang terus jatuh pada bunga besar di bahagian hadapan. Tidak kecil, tidak berselindung dan langsung tidak mahu menjadi sederhana. Tetapi anehnya, itulah yang membuatkan kasut ini menarik.

Di sebalik bunga yang agak dramatik itu, rekaannya cukup ringkas dengan dua tali nipis dan tumit kembang setinggi 2.5 inci.

Pendek kata, bunga itu yang buat kerja. Saya suka kasut yang ada sedikit x-factor sebegini. Kita tidak perlu memakai sesuatu yang sarat dari kepala hingga kaki untuk kelihatan bergaya. Kadang-kadang baju putih, seluar jeans dan sepasang kasut yang cantik sudah memadai.

Malah, dengan Bunga, saya rasa lagi ringkas pakaian kita, lagi cantik kasut ini menyerlah.

Untuk keluar minum kopi atau berjalan santai hujung minggu, cuba padankan dengan jeans potongan lurus atau jeans sedikit longgar bersama kemeja putih atau kemeja-T polos.

Metallic silver boleh membuatkan jeans biasa nampak lebih segar. Chalk dan latte brown pula lebih lembut dan mudah dipadankan. Kalau mahu sedikit kelainan, avocado memang ada tarikannya sendiri.

Warna hijau ini mungkin bukan pilihan semua orang, tetapi kadang-kadang yang kita tidak berani pilih itulah yang paling banyak menerima pujian.

Untuk acara yang lebih formal, rekaan sepatu Bunga ini juga tidak kekok. Padankan dengan skirt midi dan blaus ringkas atau seluar berpotongan kemas. Metallic gold sesuai untuk majlis malam, manakala black dan chestnut brown lebih mudah dibawa dari pejabat terus ke makan malam.

Tidak perlu beg yang terlalu sarat atau aksesori besar. Kita sudah ada sekuntum bunga di kaki. Cukuplah seorang yang mahu perhatian.

Tumit kembang 2.5 inci juga satu keputusan yang saya hargai. Masih memberi sedikit ketinggian tetapi tidak membuatkan kita mula mencari kerusi selepas setengah jam. Tapak berkusyen dan tapak luar getah turut membantu dari segi keselesaan.

Namun, saya perlu beritahu satu perkara sebelum anda jatuh cinta terlalu jauh. Bahagian tali hadapan yang dihiasi bunga mungkin terasa agak ketat, terutama bagi mereka yang mempunyai kaki lebar.

Jika membeli di butik, cuba dahulu dan berjalan beberapa langkah. Cantik memang penting tetapi kalau jari kaki sudah mula mengadu, dengarlah. Mereka juga sebahagian daripada kita.

Kasut ini menggunakan kulit vegan dan seperti kebanyakan kasut yang cantik, ia juga perlu dijaga.

Elakkan terlalu lama di bawah cahaya matahari serta berjalan di permukaan basah atau berbatu kasar. Untuk kotoran ringan, gunakan pencuci fabrik dan berus gigi lembut. Pemadam juga boleh membantu menghilangkan kesan tertentu.

Selepas dipakai, anginkan dahulu sebelum disimpan dan sebaiknya gilirkan dengan kasut lain supaya tidak cepat haus.

Pilihan warnanya pula banyak dari rona warna metallic silver, metallic gold, black, chalk, chestnut brown, avocado dan latte brown. Jadi masalah sebenarnya mungkin bukan sama ada mahu membeli atau tidak.

Masalah sebenarnya mungkin bukan sama ada mahu membeli atau tidak. Dengan tujuh pilihan warna, cabarannya ialah memilih satu sebelum ianya sold out. Metallic silver nampak menyerlah, black pula selamat dipadankan dengan apa sahaja, sementara avocado mungkin membuatkan kita kembali melihatnya untuk kali kedua.

Dan kita semua tahu, kalau sudah tengok kali kedua, biasanya ada masalah.

Jadi pilihlah warna yang paling menggembirakan hati. Lagipun, sesekali tidak salah membeli bunga untuk diri sendiri. Bezanya kali ini, bunga itu boleh dibawa berjalan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×