Tunjuk isyarat lucah, pemandu lori dipenjara sehari, lesen memandu digantung

Tunjuk isyarat lucah, pemandu lori dipenjara sehari, lesen memandu digantung

TAN Chee Gang (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Gara-gara menunjukkan isyarat lucah kepada pengguna jalan raya, seorang lelaki dipenjara sehari dan hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh, Tan Chee Gang, 37, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Chia Huey Ting atas dua pertuduhan iaitu menunjukkan isyarat lucah dan memandu secara berbahaya.

Berdasarkan pertuduhan pertama, pemandu lori itu didakwa melakukan perbuatan menghina dengan menunjukkan isyarat lucah menggunakan jari tengah kepada seorang pemandu kereta berusia 59 tahun dengan niat menyebabkan ketakutan kepada mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Tun Dr. Awang pada kira-kira pukul 11.27 pagi, 28 Mei lalu.

Bagi pertuduhan tersebut, Chee Gang didakwa mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa memandu sebuah Perodua Myvi dalam keadaan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 1999 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM15,000 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ikmal Affandi Zulkifli manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Dalam prosiding tersebut, Ikmal memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat memandangkan perbuatannya boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

Mahkamah kemudian mengenakan denda RM3,000 bagi pertuduhan menunjukkan isyarat lucah dan RM5,000 bagi kesalahan memandu secara berbahaya, selain memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama sehari.

Selain itu, Huey Ting turut memerintahkan Chee Gang hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu bagi tempoh lima tahun.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki ditahan polis selepas tular didakwa menunjukkan isyarat lucah dan mengeluarkan objek dipercayai besi dalam kejadian di Jalan Tun Dr. Awang pada 28 Mei lalu.

Menerusi rakaman video berdurasi 58 saat yang tular di media sosial, suspek yang memandu sebuah Perodua Myvi dipercayai memotong kenderaan mangsa secara mengejut sebelum menunjukkan isyarat lucah dalam kejadian kira-kira pukul 11.27 pagi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN