Tidak mudah untuk Pas lepaskan PN - Utusan Malaysia

Tidak mudah untuk Pas lepaskan PN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Selepas terlerai kerjasama politik antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), soal siapa yang bakal menguasai Perikatan Nasional (PN) mula menjadi polemik dan perebutan antara dua parti itu.

Di sebalik Bersatu menegaskan bahawa Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengasas PN, Pas pula percaya bahawa merekalah yang menjadikan gabungan tersebut kuat sehingga mencapai keputusan cukup cemerlang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini.

Bekas Timbalan Pengerusi Tetap Bersatu, Datuk Hashim Suboh berkata, selepas Pas dan Bersatu ‘bercerai’, isu siapa bakal menguasai PN menjadi perhatian dengan masing-ma­sing ingin kekal dalam gabu­ngan tersebut.

Katanya, dalam kalangan pemimpin dua parti itu, Pas dilihat berkelebihan untuk kekal dalam PN, sekali gus menyingkirkan Bersatu daripada gabu­ngan tersebut.

Beliau berkata, ia dikuatkan lagi dengan situasi semasa apabila pentadbiran kanan PN dikuasai oleh Pas yang antaranya mengisi jawatan penting se­perti Pengerusi dan Setiausaha Agung.

“Saya tidak fikir Pas akan melepaskan PN dengan mudah kerana mereka akan mempertahankan gabungan tersebut seterusnya memperkukuhkannya dengan membawa masuk kumpulan ‘Reset’ Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Bersatu pula sudah pasti tidak mahu kehilangan PN dengan salah satu harapan, iaitu memastikan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) menyokong Bersatu dalam PN,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Di tengah-tengah polemik sama ada Bersatu atau Pas yang menguasai PN selepas terhentinya kerjasama, Pengeru­sinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar tampil menegaskan bahawa gabungan tersebut bukan milik mana-mana parti komponen secara mutlak.

Kata Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu, Pas juga adalah antara parti pe­ngasas PN dan beliau sendiri merupakan salah seorang penandatangan rasmi penubuhan PN.

Sebelum itu, Muhyiddin dalam reaksi terhadap keputusan terlerainya kerjasama politik Pas dan Bersatu menegaskan Bersatu adalah parti pengasas PN dan akan terus kekal dalam PN serta memperkukuhkan teras perjuangannya.

Pemimpin Pas pula seolah-olah memberi isyarat akan terus menguasai PN bersama parti komponen lain.

Antaranya, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan, satu musyawarah antara Pas bersama Gerakan dan MIPP sudah diatur serta disegerakan, dengan kedudukan gabungan itu akan dibincangkan tanpa melibatkan Bersatu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN