Tiada rakyat Malaysia terjejas gempa bumi di Filipina

Tiada rakyat Malaysia terjejas gempa bumi di Filipina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada laporan mengenai mana-mana warganegara Malaysia yang terjejas akibat gempa bumi di luar pantai Mindanao, Filipina setakat ini.

Kementerian Luar berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Manila sedang giat berkoordinasi dengan pihak berkuasa tempatan berkaitan memandangkan kejadian tersebut masih di peringkat awal bagi memastikan keselamatan dan kebajikan komuniti warganegara Malaysia di kawasan terjejas.

“Warganegara Malaysia yang menetap atau melakukan perjalanan ke kawasan terjejas di Filipina dinasihatkan supaya kekal berwaspada, segera berpindah ke kawasan lebih tinggi sekiranya berada berhampiran pantai.

“Rakyat Malaysia juga perlu mematuhi sepenuhnya semua arahan pemindahan dan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa Filipina,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Kementerian Luar, warganegara Malaysia juga digesa mendaftar serta sentiasa mengemas kini maklumat perhubungan menerusi portal e-Konsular di pautan https://ekonsular.kln.gov.my bagi memudahkan komunikasi dan penyaluran bantuan konsular dengan segera.

Bagi bantuan konsular segera atau kecemasan, warganegara Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Manila menerusi talian pertanyaan umum di +63 2 8662 8200, talian kecemasan luar waktu pejabat di +63 961 077 8113 atau e-mel [[email protected]](mailto:[email protected]).

Kementerian yang turut dikenali sebagai Wisma Putra berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Manila kini memantau rapat perkembangan susulan gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter yang melanda kawasan luar pantai Mindanao pada pukul 7.37 pagi ini.

“Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan maklumat terkini berhubung nasihat tsunami setempat bagi kawasan pesisir pantai Sabah susulan kejadian tersebut.

“Wisma Putra akan terus memantau situasi berkenaan dan menyalurkan maklumat terkini sebaik sahaja maklumat yang disahkan diperoleh,” katanya.

Terdahulu, ombak tsunami setinggi 0.4 meter dijangka melanda kawasan pantai di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu, hari ini, susulan gempa bumi kuat berukuran 7.9 pada skala richter yang berlaku di Mindanao, Filipina.

MetMalaysia menjangkakan tsunami itu akan melanda kawasan terbabit sekitar pukul 10.30 pagi hingga 12 tengah hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN