PETALING JAYA: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) terus komited memperkukuh pembangunan ekonomi bumiputera seluruh negara melalui pendekatan lebih dekat, inklusif dan berfokus kepada keperluan komuniti setempat.
Buktinya, program Teraju Aspirasi Outreach Pulau Pinang diadakan sebagai siri jelajah bagi wilayah utara dengan memberi tumpuan kepada usaha memperluas capaian maklumat, meningkatkan kesedaran terhadap inisiatif pembangunan syarikat bumiputera dan menghubungkan peluang pertumbuhan yang mampu mempercepatkan pembangunan serta penskalaan perniagaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Junady Nawawi berkata, pelbagai inisiatif dilaksanakan pihaknya bagi mengukuhkan ekonomi bumiputera sejak awal tahun ini antaranya program Ascend, Enhance dan Xcelerate.
Katanya, program itu dirangka khas untuk membantu syarikat bumiputera meningkatkan kapasiti, memperkukuh daya saing serta mempercepatkan pertumbuhan dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV).
“Komitmen Teraju adalah membawa peluang pemerkasaan dan pembangunan ekonomi bumiputera terus ke wilayah utara, bukan sekadar ke pusat.
“Menerusi kerjasama strategik dengan pemain industri utama seperti MMC dan MRT Corp, kami membuka pintu akses yang lebih luas kepada pembiayaan, pembangunan kapasiti, dan pasaran sebenar untuk usahawan tempatan,” katanya.
Selain itu, Teraju turut memperkenalkan Bumiputera Strategic Acquisition Fund (BSAF), iaitu inisiatif pembiayaan ekuiti dan program pemudahcaraan berstruktur yang direka untuk menyokong langkah korporat strategik syarikat bumiputera berpotensi tinggi.
Inisiatif itu bertujuan membantu syarikat berkembang ke peringkat seterusnya, termasuk persediaan ke arah penyenaraian di pasaran modal (Pre-IPO), penggabungan atau pengambilalihan strategik.
Berdasarkan kenyataan Teraju, kesemua inisiatif itu selaras dengan aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), yang menekankan pembangunan syarikat berprestasi tinggi, peningkatan produktiviti dan penciptaan nilai yang mampan.
“Sebagai wilayah ekonomi utama yang merangkumi Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak, Koridor Utara memegang peranan penting melalui kekuatan sektor pembuatan, teknologi, perkhidmatan, agro-makanan, serta perdagangan.
“Potensi serantau ini membuka peluang luas bagi syarikat bumiputera tempatan untuk berkembang secara inklusif. Di samping itu, inisiatif ini bertindak sebagai platform strategik untuk memperluas kesedaran tentang pelaksanaan PuTERA35, sekali gus menyokong sasaran Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) dan Kerangka Ekonomi Madani,” katanya. – UTUSAN










