Tarikh PRN Johor, Negeri Sembilan diketahui hari ini

Tarikh PRN Johor, Negeri Sembilan diketahui hari ini

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) mengadakan mesyuarat khas hari ini bagi menentukan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan mesyuarat khas hari ini bagi menentukan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Mesyuarat yang berlangsung di Menara SPR, Putrajaya itu akan membincangkan tarikh pengeluaran writ pilihan raya, hari penamaan calon, pengundian awal dan hari pengundian bagi kedua-dua negeri berkenaan.

Selain itu, mesyuarat turut dijangka memperincikan tempoh berkempen, daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan pelaksanaan pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan.

Mesyuarat khas itu dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun dan dijadual bermula pukul 10 pagi ini.

Tumpuan kini terarah kepada keputusan rasmi SPR berhubung garis masa pelaksanaan kedua-dua PRN itu, susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Negeri Sembilan.

Pada 1 Jun lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

DUN Johor mempunyai 56 kerusi dan PRN kali ini bakal menjadi pilihan raya ke-16 bagi negeri itu.

Sementara itu, DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun selepas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan pembubaran sehari sebelum itu.

Pembubaran DUN Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Keputusan mesyuarat khas SPR hari ini dijangka memberi gambaran jelas mengenai tempoh kempen dan persiapan parti-parti politik menghadapi PRN di kedua-dua negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN