Suspek kes bunuh ditahan di Perlis - Utusan Malaysia

Suspek kes bunuh ditahan di Perlis

MOHD. ALWI ZAINAL ABIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Suspek yang dipercayai menikam lelaki hingga maut di Kilometer 12, Jalan Trans Perak di Kampung Gajah semalam, turut didakwa merogol teman wanita mangsa.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, suspek berusia 30 tahun itu bagaimanapun berjaya diberkas di Kangar, Perlis dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian.

Katanya, lelaki itu ditangkap pada pukul 3.45 petang ketika cuba melarikan diri di Terminal Bas Perlis Sentral.

“Hasil penahanan suspek, polis berjaya menemui sebilah pisau yang digunakan dalam kejadian itu selepas ia dibuang ke dalam tong sampah di bandar Kangar.

“Dengan tertangkapnya suspek, kes bunuh dan rogol ini berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang 24 jam. Suspek direman tujuh hari untuk membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Perak di Mes Pegawai Kanan Perak, di sini hari ini.

Menurut Mohd. Alwi, kejadian itu bermula selepas suspek bertemu mangsa wanita yang juga bekas kekasihnya pada pukul 9 pagi kelmarin (9 Jun) untuk berbincang mengenai masalah hubungan mereka.

Katanya, semasa perjumpaan di kawasan sawah padi di Jalan Trans Perak, suspek telah bertindak mengugut dan merogol mangsa di dalam keretanya.

“Keesokan harinya (semalam) sekitar pukul 5 pagi, ketika suspek menghantar wanita itu ke kereta, teman lelaki mangsa dikatakan datang untuk berjumpa suspek.

“Namun, suspek bertindak melarikan diri dengan memandu kereta sebelum dikejar lelaki terbabit yang berjaya melanggar dan menghalang kenderaan tersebut sehingga berhenti.

“Sebaik sahaja mangsa keluar dari kereta, suspek dipercayai terus menyerang dan menikam lelaki itu menggunakan sebilah pisau di bahagian perut,” katanya.

Tambah beliau, suspek yang melarikan diri dengan memandu kereta milik mangsa lelaki kemudian meninggalkan kenderaan itu di Persiaran Batu Gajah Perdana.

“Dalam kejadian itu, mangsa dikejarkan ke sebuah klinik swasta di Kampung Gajah untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan tikaman,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN