SumiSaujana catat pertumbuhan aktiviti huluan minyak dan gas - Utusan Malaysia

SumiSaujana catat pertumbuhan aktiviti huluan minyak dan gas

PENGARAH Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Operasi SumiSaujana Group Berhad, Ramli Mohamad (kiri), Timbalan Pengerusi Eksekutif SumiSaujana Group Berhad, Toh Chee Seng (tengah) dan Norazlam Norbi (kanan sekali) pada Mesyuarat Agung Tahunan Kedua (AGM Ke-2) di Shah Alam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: SumiSaujana Group Berhad kekal positif terhadap prospek industri minyak dan gas (O&G), disokong oleh aktiviti huluan yang terus berkembang di pasaran utama Asia serta permintaan yang konsisten terhadap penyelesaian bahan kimia khusus.

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Norazlam Norbi berkata, kedudukan syarikat dalam segmen bahan kimia khusus O&G membolehkan kumpulan memanfaatkan peluang pertumbuhan yang wujud hasil peningkatan aktiviti penerokaan dan pengeluaran tenaga di rantau ini.

Katanya, walaupun persekitaran ekonomi global masih berdepan beberapa ketidaktentuan dan tekanan kos operasi, prospek perniagaan kumpulan kekal memberangsangkan berikutan keperluan berterusan industri terhadap produk bahan kimia berprestasi tinggi yang menyokong operasi huluan.

“SumiSaujana akan terus mengekalkan disiplin dalam pengurusan kos, melaksanakan peruntukan modal secara berhemat serta memperkukuh strategi pasaran bagi memastikan pertumbuhan yang mampan dan penciptaan nilai jangka panjang kepada pemegang saham,” katanya dalam mesyuarat Mesyuarat Agung Tahunan Kedua (AGM) ke-2 di sini.

Beliau berkata, kumpulan juga akan memberi tumpuan kepada pengembangan pasaran, pembangunan produk bernilai tambah tinggi serta peningkatan kecekapan operasi bagi mengukuhkan daya saing dan memperluaskan sumber pendapatan pada masa hadapan.

“Dengan asas perniagaan yang kukuh serta permintaan yang kekal stabil dalam sektor O&G, SumiSaujana optimis dapat meneruskan momentum pertumbuhan dan memperkukuhkan kedudukannya sebagai pengeluar bahan kimia khusus yang berdaya saing di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya.

Dalam mesyuarat AGM , pemegang saham turut meluluskan pembayaran yuran dan faedah pengarah bagi tempoh bermula 24 Jun 2026 sehingga AGM akan datang. 

Selain itu, Liang Kok Siang dan Toh Chee Seng dipilih semula sebagai pengarah syarikat selaras dengan peruntukan Perlembagaan SumiSaujana.

Pada masa sama, Crowe Malaysia PLT dilantik semula sebagai juruaudit syarikat bagi tahun kewangan 2026, dengan lembaga pengarah diberi kuasa untuk menentukan kadar imbuhan mereka.

“Salah satu resolusi utama yang mendapat kelulusan pemegang saham ialah mandat am di bawah Seksyen 75 dan 76 Akta Syarikat 2016 yang membolehkan syarikat menerbitkan dan memperuntukkan saham biasa baharu sehingga 10 peratus daripada jumlah saham terbitan semasa.

“Mandat tersebut dilihat sebagai langkah strategik yang memberi fleksibiliti kepada SumiSaujana untuk mendapatkan dana bagi menyokong keperluan modal kerja, membiayai pelaburan baharu, melaksanakan pengambilalihan yang berpotensi meningkatkan nilai syarikat serta memenuhi keperluan korporat lain pada masa hadapan.

“Kelulusan semua resolusi itu mencerminkan keyakinan berterusan pemegang saham terhadap hala tuju perniagaan, kekuatan tadbir urus korporat serta prospek pertumbuhan jangka panjang SumiSaujana dalam industri bahan kimia khusus O&G,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN