Sultan Nazrin rasmi Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Lenggong - Utusan Malaysia

Sultan Nazrin rasmi Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Lenggong

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah pada majlis perasmian Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) Lenggong di Kampung Tersusun Bukit Sapi di Lenggong hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENGGONG: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) Lenggong di Kampung Tersusun Bukit Sapi, sini hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim.

Sementara itu, Saarani dalam sembah ucapannya berkata, kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM17 juta bagi pengurusan rangkaian lima SMTDR untuk tahun kewangan 2026.

Katanya, peruntukan itu menjadi bukti komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa pendidikan tahfiz menerusi sokongan menyeluruh merangkumi operasi sekolah, emolumen guru, latihan, makanan pelajar, kebajikan asrama dan penyelenggaraan.

“Peruntukan ini menggambarkan bahawa pembangunan pendidikan tidak hanya diukur pada binaan fizikal semata-mata.

“Yang lebih utama ialah memastikan suasana pembelajaran yang baik, kebajikan pelajar dipelihara dan guru-guru terus mempunyai ruang terbaik untuk mendidik generasi pewaris negeri,” katanya.

Menurut beliau, keunikan SMTDR Lenggong terletak pada pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Tahfiz yang menggabungkan pengajian Tahfiz al-Quran dengan akademik arus perdana.

Katanya, melalui aliran Sains Tulen dan Pengajian Islam, sekolah ini menyediakan laluan lebih luas kepada pelajar untuk meneruskan pengajian dalam pelbagai bidang profesional.

“Perkembangan pendidikan tahfiz dan aliran ulul albab membuktikan bahawa anak-anak yang diasuh dengan al-Quran mampu bergerak seiring dengan kecemerlangan akademik.

“SMTDR Lenggong sendiri memperlihatkan peningkatan prestasi akademik apabila Gred Purata Sekolah (GPS) bertambah baik daripada 3.28 pada tahun 2023 kepada 2.05 pada tahun 2024, sebelum mencatatkan GPS 2.18 pada tahun 2025” katanya.

Tambah beliau, pencapaian itu meletakkan SMTDR Lenggong sebagai sekolah kedua terbaik dalam kalangan lapan Sekolah Menengah Agama Negeri di bawah kelolaan JAIPk selama dua tahun berturut-turut.

“Namun, kejayaan itu bukan sekadar diukur melalui keputusan peperiksaan, sebaliknya lahir daripada kesungguhan pelajar mengimbangi hafazan dan akademik, pengorbanan guru dan sokongan padu ibu bapa,” ujar beliau.

SMTDR Lenggong memulakan operasi pada 3 Januari 2012 di tapak sementara di Sekolah Rendah Agama Rakyat Madrasah As-Syakirin, Kampung Lenggong sebelum berpindah ke tapak tetap di Kampung Tersusun Bukit Sapi pada 3 Ogos 2020.

Sekolah yang beroperasi di atas tanah wakaf berkeluasan 7.85 hektar itu terdiri daripada pelbagai fasiliti yang merangkumi 10 bilik darjah, pejabat, bilik guru, makmal sains, makmal komputer, padang, dewan terbuka, kemudahan asrama serta fasiliti keselamatan dan sokongan.

Sekolah di bawah bimbingan pengetua, Muhammad Khair Azhar Kamarudin itu kini mempunyai 176 orang pelajar lelaki dengan kekuatan 43 orang tenaga pengajar. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN