JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz berharap anak buahnya dapat menterjemahkan momentum aksi Liga Malaysia ketika bertemu Buriram United pada aksi Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.
Berdasarkan rekod pertemuan, kelab Thailand itu di kedudukan lebih baik setelah skuad Harimau Selatan hanya menewaskan lawan sekali sahaja daripada tujuh pertemuan.
Menurut Munoz, JDT perlu belajar dari perlawanan terdahulu dan tampil dengan strategi ampuh selain mempamerkan mentaliti juara apabila berdepan Juara Liga Thailand itu.
Walaupun Buriram di bawah kendalian jurulatih baharu, Munoz berkata, skuad Thunder Castle itu masih mempunyai kualiti yang sama dan dibarisi pemain yang digeruni.
“Meskipun dibimbing jurulatih Portugal, Mario Silva, saya lihat corak permainan mereka tidak banyak berubah, masih kuat seperti dulu, jadi kita tidak boleh ambil mudah.
“Perlawanan ini sangat penting buat JDT, Justeru, pemain perlu mengekalkan mentaliti juara dan mengelakkan gawang dibolosi dan kesilapan mudah, serta kekal berdisiplin ketika situasi bola mati dan transisi permainan,” katanya.
Pertembungan antara kedua-dua kelab gergasi Asia Tenggara itu juga dilihat sebagai peluang terbaik buat JDT selepas disingkirkan pada pusingan separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC), Mei lalu pada lawan yang sama.
“Bermain di halaman sendiri memberikan kelebihan buat kami. Sokongan padu peminat di stadium ibarat tenaga ekstra di belakang pemain dan kami akan berikan aksi maksimum,” katanya. – UTUSAN










