ALOR SETAR: Aktiviti penanaman padi Musim 1/2026 di kawasan Muda menunjukkan perkembangan baik apabila fasa pratepuan telah mencapai 99.5 peratus setakat semalam, manakala fasa penyediaan tanah merekodkan kemajuan sebanyak 84.8 peratus.
Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) memaklumkan, kemajuan semasa yang dicatatkan bagi fasa penanaman pula adalah sebanyak 12.5 peratus.
“Perkembangan ini didorong oleh bekalan air mencukupi di petak-petak sawah, sekali gus membolehkan aktiviti pratepuan, penyediaan tanah dan penanaman dilaksanakan dengan lancar mengikut jadual ditetapkan,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, kedudukan semasa takungan air keseluruhan bagi tiga empangan di bawah seliaan MADA direkodkan sebanyak 504,535 ekar kaki atau bersamaan 41.25 peratus daripada kapasiti keseluruhan, sehingga semalam.
Daripada jumlah itu, Empangan Pedu merekodkan simpanan air sebanyak 375,595 ekar kaki atau 42.93 peratus, diikuti Empangan Ahning dengan 113,890 ekar kaki (51.07 peratus) dan Empangan Muda mencatatkan 15,050 ekar kaki atau 12.04 peratus.
“Bagi taburan hujan harian di kawasan tadahan empangan, sebanyak 9.8 milimeter (mm) direkodkan di Empangan Pedu, 11.6mm di Empangan Muda dan 18.0mm di Empangan Ahning.
“Purata hujan terkumpul di kawasan Muda sehingga Selasa lalu pula direkodkan sebanyak 637mm, sekali gus membantu mengekalkan bekalan air bagi menyokong aktiviti penanaman padi Musim 1/2026,” katanya.
Tambah agensi itu, pihaknya akan terus memantau perkembangan status bekalan air dan aktiviti penanaman padi dari masa ke semasa bagi memastikan kelancaran pelaksanaan musim itu serta menjamin produktiviti pengeluaran padi di kawasan jelapang MADA.
MADA turut berharap kerjasama para peladang agar menggunakan sumber bekalan air yang tersedia secara berhemah dan optimum bagi mengelak sebarang pembaziran serta memastikan keperluan pengairan dapat dipenuhi dengan berkesan sepanjang musim penanaman padi.
Katanya, operasi pelepasan air dari Empangan Pedu dan Empangan Ahning masih diteruskan secara terkawal dengan kadar pelepasan keseluruhan sebanyak 1,000 kaki padu sesaat (cusec) agar bekalan air untuk kegunaan domestik dan industri sentiasa berada pada tahap yang stabil dan mencukupi.-UTUSAN










