MARANG : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang meneliti keperluan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) serta peraturan berkaitan aktiviti lasak terutama pendakian gunung susulan beberapa insiden kehilangan pendaki termasuk kes membabitkan pendaki wanita, Jaslinda Saludin.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, langkah itu sedang dibincangkan bersama pihak berkaitan termasuk Jabatan Perhutanan bagi mengurangkan risiko kehilangan dan kecederaan ketika aktiviti riadah lasak.
Katanya, peningkatan minat masyarakat terhadap aktiviti pendakian dan rekreasi lasak adalah perkembangan positif kerana ia berkait dengan amalan gaya hidup sihat, namun aspek persediaan dan disiplin peserta perlu diberi perhatian serius.
“Pada pandangan saya, apa juga aktiviti riadah termasuk pendakian memerlukan persediaan dan disiplin yang tinggi dalam kalangan peserta. Dalam insiden kehilangan atau kecemasan, tanggungjawab pasukan penyelamat adalah memastikan operasi dijalankan secekap mungkin bagi menyelamatkan mangsa selain memastikan anggota penyelamat sendiri berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutupan Pertandingan Kawad Kecekapan (PKK) 2026 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai, di sini.
Malaysia dikejutkan dengan kehilangan Jaslinda ketika melakukan aktiviti pendakian sebelum operasi mencari dan menyelamat digerakkan secara besar-besaran melibatkan pelbagai agensi keselamatan dan sukarelawan sebelum ditemui selamat di rumah orang asli.
Mengulas kritikan segelintir pihak termasuk netizen yang mempertikai kos operasi menyelamat pendaki sesat, Nor Hisham berkata, keutamaan JBPM tetap tertumpu kepada keselamatan nyawa mangsa dan anggota penyelamat.
Katanya, pada peringkat awal sesuatu operasi, pihaknya biasanya mempunyai keyakinan tinggi bahawa mangsa masih hidup, justeru itu tindakan segera dengan kekuatan anggota yang mencukupi perlu dilakukan.
“Kos memang kita ambil kira tetapi keutamaan utama adalah nyawa mangsa dan keselamatan pasukan mencari dan menyelamat. Pada masa sama, kita menguruskan operasi dengan secekap mungkin dan bukan berbelanja secara sewenang-wenangnya,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pendaki supaya tidak keluar daripada laluan utama sekiranya tersesat selain memastikan pergerakan dilakukan secara berkumpulan.
“Kalau pertama kali masuk ke sesuatu trek, jangan lari daripada laluan utama.Selain itu, pendaki perlu sentiasa bergerak dalam kumpulan dan tidak berada terlalu jauh antara satu sama lain supaya pencarian dapat dilakukan dengan lebih mudah jika berlaku kecemasan,” katanya. – UTUSAN










