Sokongan Pas kepada BN cerminkan keterbukaan politik - Onn Hafiz

Sokongan Pas kepada BN cerminkan keterbukaan politik – Onn Hafiz

ONN Hafiz Ghazi menghadiri Majlis Penyampaian Amanat Kepada Jentera BN bahagian Batu Pahat di Dewan Kampung Parit Mengkudu, Rengit, Johor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Kehadiran wakil Pas memberikan sokongan dalam kempen pilihan raya Barisan Nasional (BN) merupakan sikap yang matang selain cerminan keterbukaan dalam berpolitik.

Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kehadiran wakil Pas yang hadir memberi sokongan BN merupakan sesuatu yang amat menggembirakan dan di luar jangkaan.

Menurut calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap itu, kehadiran ahli jawatankuasa Pas Batu Pahat, Misran Samian dan Hazrin Abdul Hamid menunjukkan hubungan politik yang lebih terbuka dan tidak lagi terikat dengan garis lama perseteruan.

“Dakwaan kononnya kerjasama itu bersifat perkauman adalah tidak tepat dan hanya retorik politik pihak tertentu untuk menakutkan pengundi Cina.

“Saya percaya pengundi Johor lebih matang dan mampu menilai isu sebenar tanpa dipengaruhi sentimen dimainkan pihak luar sepanjang kempen berlangsung,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penyampaian Amanat Kepada Jentera BN Bahagian Batu Pahat di Dewan Kampung Parit Mengkudu, Rengit hari ini.

Tambah Onn Hafiz, beliau telah dimaklumkan semalam melalui panggilan telefon oleh calon BN bagi DUN Rengit, Mohd. Zaidi Jaapar, mengenai kehadiran wakil Pas tersebut.

Beliau mengakui awalnya terkejut dengan perkembangan tersebut, namun dalam masa sama teruja terhadap kesediaan wakil Pas untuk hadir memberi sokongan secara terbuka.

“Saya amat mengalu-alukan kehadiran wakil Pas itu dan menyifatkannya sebagai perkembangan positif yang mencerminkan keterbukaan politik serta hubungan harmoni di peringkat akar umbi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN