PETALING JAYA: Seorang lagi Ahli Parlimen PKR mendakwa tidak dapat mengakses sistem MyKhas bagi urusan peruntukan kawasan, selepas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berdepan situasi sama.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, pejabatnya tidak lagi mempunyai akses kepada sistem berkenaan sejak 29 Mei lalu dan menjejaskan urusan berkaitan peruntukan kawasan serta Projek Mesra Rakyat (PMR).
Menurut Chean Chung, setakat pengetahuannya, ini mungkin kali pertama dua Ahli Parlimen daripada blok kerajaan kehilangan akses kepada saluran peruntukan kawasan secara berturut-turut.
“Saya ingin mengemukakan satu persoalan yang amat mudah, apakah sebenarnya kesalahan yang telah saya lakukan?
“Saya masih merupakan Ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Perpaduan. Saya tidak pernah mengumumkan keluar daripada blok kerajaan dan saya juga tidak pernah mengundi menentang kerajaan di Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 22 Mei lalu, Wong Chen dilaporkan memohon penjelasan rasmi daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) selepas akses akaun Portal MyKhas milik pejabatnya didakwa disekat tanpa sebarang notis.
Beliau berkata, sekatan itu menjejaskan urusan pejabatnya untuk memuat naik, mengurus dan memproses permohonan PMR serta permohonan lain berkaitan peruntukan kawasan bagi rakyat Subang.
Mengulas lanjut, Chean Chung berkata, sekiranya keputusan itu mempunyai kaitan dengan kehadirannya pada majlis pelancaran Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang dipimpin Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad pada 17 Mei lalu, pimpinan parti sepatutnya memberikan penjelasan jelas dan terbuka.
Beliau berkata, jika tindakannya dianggap melanggar disiplin parti atau menjejaskan kepentingan parti, proses sewajarnya seperti surat amaran, surat tunjuk sebab atau siasatan disiplin perlu dilaksanakan mengikut saluran ditetapkan.
Katanya, Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh sebelum ini memaklumkan pimpinan parti akan menghubungi enam Ahli Parlimen yang menghadiri majlis berkenaan, namun sehingga kini beliau masih belum menerima sebarang makluman rasmi.
Menurut Chean Chung, tindakan menyekat akses kepada peruntukan tanpa penjelasan lisan atau bertulis menimbulkan persoalan mengenai ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam organisasi politik.
Beliau berkata, keadaan itu turut menimbulkan persoalan sama ada wujud amalan dua darjat apabila Ahli Parlimen pembangkang yang menyokong kerajaan menerima peruntukan, sedangkan Ahli Parlimen kerajaan pula kehilangan akses kepada saluran berkenaan.
“Peruntukan kawasan bukanlah manfaat untuk Ahli Parlimen. Ia merupakan sumber penting bagi membantu komuniti setempat, sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), golongan memerlukan serta memastikan pusat khidmat rakyat dapat beroperasi dengan berkesan.
“Apabila peruntukan disekat, pihak yang paling terkesan bukanlah wakil rakyat, tetapi rakyat yang memerlukan bantuan dan sokongan,” katanya. – UTUSAN









