KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata dia akan terus aktif dalam bidang kreatif selagi tidak memegang sebarang jawatan rasmi sebagai ahli politik.
Menurut Khairy, 50, buat masa ini dia selesa bergelar penyampai radio di samping menerima tawaran lakonan yang dirasakan bersesuaian dengan dirinya.
“Selagi saya hanya ahli biasa dan tidak memegang jawatan rasmi, saya tidak melihat sebarang masalah untuk terlibat dalam dunia kreatif sama ada sebagai penyampai radio mahupun pelakon.
“Namun, sekiranya saya kembali memegang jawatan rasmi, saya berpandangan kedua-dua dunia itu perlu dipisahkan.
“Peranan rasmi tidak boleh dicampuradukkan dengan bidang hiburan. Dari sudut profesionalisme dan persepsi awam, perkara itu perlu diberi perhatian supaya masyarakat tidak keliru sama ada seseorang itu pelakon atau pemegang jawatan politik,” katanya.
Khariy berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem 5 Bomoh di Mid Valley Megamall, semalam.
Mengulas penglibatannya dalam dunia lakonan, Khairy berkata filem 5 Bomoh merupakan penampilan sulungnya dalam filem cereka menerusi watak Mr. K.
Menurutnya, tawaran tersebut diterima kerana watak yang diberikan mempunyai persamaan dengan personalitinya dalam kehidupan sebenar.
“Sebelum ini saya pernah terlibat dalam filem pendek dan iklan, tetapi belum pernah berlakon dalam filem panjang.
“Apabila tawaran itu datang, saya melihat watak yang diberikan bukan watak utama. Jadi saya merasakan ia sesuatu yang masih mampu saya bawakan dengan baik.
“Jika diberi watak utama, saya belum mempunyai pengalaman yang mencukupi untuk memikul tanggungjawab tersebut. Sebagai langkah awal dalam bidang ini, saya melihat watak Mr. K sangat sesuai kerana tidak jauh berbeza daripada personaliti saya sendiri,” katanya.
Khairy berkata, persamaan antara watak yang dibawa dengan dirinya memudahkan proses menghidupkan karakter tersebut.
“Pihak produksi ada mengadakan sesi pembacaan skrip bagi memastikan saya mampu membawakan watak itu dengan baik. Namun seperti yang saya katakan, watak ini ialah seorang pengurus dan tidak jauh berbeza daripada diri saya.
“Jadi saya tidak perlu melakukan perubahan yang terlalu besar untuk menjayakan karakter itu.
“Berbeza dengan Aaron Aziz yang perlu menampilkan skop lakonan lebih luas. Saya kagum melihat kemampuannya membawakan pelbagai emosi dan karakter.
“Bagi saya, untuk percubaan pertama ini, watak yang dibawakan masih banyak dipengaruhi personaliti sendiri. Justeru, cabarannya tidaklah terlalu sukar untuk dihayati,” katanya.
Filem 5 Bomoh mengisahkan seorang bapa yang berusaha mencari bomoh paling hebat bagi memastikan anak kesayangannya memperoleh keputusan cemerlang 8A dalam peperiksaan SPM.
Turut membintangi filem tersebut ialah Scha Alyahya, Afdlin Shauki, Amy Search, Aedy Ashraf, Ozlynn Waty, Johan, Ungku Hariz dan Tiara Suraya Rose.
Filem berkenaan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 4 Jun ini. -UTUSAN










