KUALA LUMPUR: Penyanyi, Siti Saerah, menjelaskan anaknya, Ahmad Dayyan, sudah berpindah ke Kuantan untuk tinggal bersama bapanya, Saiful Anuar.
Menurut Saerah atau Siti Nursairah Tarudin, keputusan tersebut merupakan pilihan Dayyan sendiri dan dia sentiasa menyokong apa sahaja keputusan yang terbaik untuk anaknya.
“Saya sebagai ibu tidak pernah menghalang kehendak dia sekiranya dia rasa pilihan untuk pulang ke sana itu adalah yang terbaik untuk diri dan kebaikan dia.
“Saya tak ada masalah. Sebenarnya kami semua okey, tak ada masalah.
“Bila anak dah remaja, ada masa dia ada pilihan sendiri dan saya tidak pernah menghalang,” katanya.
Saerah ditemui semasa majlis pelancaran single baharu Umairah, Hujung Indah, di sini pada Rabu.
Tidak mudah melepaskan anaknya itu, Saerah mengakui berasa sedih sehingga sukar melelapkan mata.
“Ibu mana yang tak sedih. Memang saya sedih sampai tak boleh tidur. Tapi tak mengapa, itu pilihan dia. Saya sebagai ibu mendoakan yang terbaik untuk dia dan sentiasa mengharapkan yang terbaik buat dirinya.
“Dengan pilihan yang dia buat itu, saya berharap akan ada perubahan yang baik untuk dirinya. Mungkin perubahan yang baik itu bermaksud dia merasakan pilihan yang dibuat itu membuatkan dirinya gembira.
“Kadang-kadang anak muda ini macam-macam. Mereka ada kehendak sendiri. Jadi tak mengapa, kita ikut sahaja pilihan dia.
“Kalau dia rasa pilihan itu membuatkan dia gembira dan membawa perubahan yang lebih baik, saya sebagai ibu pastinya turut gembira. Yang penting, saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk dia,” katanya.
Bagaimanapun, Saerah berkata, kerjaya nyanyian Ahmad Dayyan masih berjalan seperti biasa termasuklah kontrak dengan syarikat rakaman World Peace Music.
“Sebenarnya sekarang ini Amad ada menandatangani kontrak untuk lagu. Jadi macam mana sekali pun dia kena selesaikan hal kerja dia.
“Saya cakap dengan dia, apa pun yang berlaku, kontrak itu kena diselesaikan juga. Apa yang perlu diselesaikan, kena diselesaikan.
“Saya hanya sebagai ibu yang mampu mendoakan yang terbaik untuk dia supaya dia berjaya pada masa hadapan dengan pilihan yang dia buat sendiri,” katanya. -UTUSAN










