Saya sudah muak bila orang cakap saya tiada identiti diri - Amsyar Lee - Utusan Malaysia

Saya sudah muak bila orang cakap saya tiada identiti diri – Amsyar Lee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi yang terkenal dengan persamaan suara seakan-akan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Amsyar Lee, meluahkan rasa kesal terhadap segelintir individu yang terus-menerus melemparkan kritikan kononnya dia tidak mempunyai identiti sendiri dalam bidang nyanyian.

Amsyar atau Muhammad Amir Syafiq Mohd Sadri, 28, menggesa agar berhenti memandang serong terhadap usaha golongan selebriti dan artis baharu yang sedang membina nama.

“Sekarang ini sudah tahun 2026, saya berasa muak dengan tindakan segelintir pengguna Facebook yang sering bercakap kononnya saya tiada identiti diri. Individu yang tiada identiti inilah yang sibuk mereka ingin ketahui. Nanti adalah yang sibuk komen.

“Nikmati sahaja hidup awak. Awak tidak tahu pun kerja keras orang itu. Cakap bukan main pandai,” katanye menerusi satu hantaran di Threads miliknya.

Bagi penyanyi lagu Rasa Sayang Sayang ini, sekiranya seseorang itu tidak meminati kandungan atau karya yang dihasilkan oleh mana-mana selebriti, adalah lebih baik untuk mereka terus mengabaikannya tanpa perlu meninggalkan komen yang negatif.

“Suka boleh ikut, tidak suka boleh abaikan. Yang tengah berjuang dengan bidang apa pun, tolong jangan patah semangat dengan apa yang orang cakap yang awak tidak boleh. Janji dengan saya,awak buat sampai berjaya dan datang balik ke thread ini,” ujarnya.

Luahan emosi Amsyar itu dipercayai tercetus selepas segelintir individu di platform Facebook sering membanding-bandingkan bakatnya serta mendakwa dia sekadar menumpang populariti penyanyi tersohor negara disebabkan kebolehan meniru suara wanita itu dengan baik.

Untuk rekod, nama Amsyar mula tular dan meraih perhatian meluas selepas video mendendangkan semula lagu bergenre balada bernada tinggi, Cinta, nyanyian asal Marsha Milan tular di media sosial sebelum dia terpilih mewakili negara dalam program realiti Sing Asia di China.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN