KLANG: Semua pembinaan perumahan rakyat berhampiran stesen Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) di Lembah Klang diluluskan dalam tempoh sebulan bagi mempercepat penyediaan kediaman yang mempunyai akses kepada sistem pengangkutan awam.
Langkah itu memendekkan tempoh kelulusan daripada antara lapan hingga 18 bulan sebelum ini, sekali gus mempercepat pembangunan projek berorientasikan transit (TOD) dan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan penduduk.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menekankan supaya pembangunan di stesen-stesen pengangkutan awam diberi keutamaan bagi memastikan kemudahan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat.
Katanya, sebagai contoh di LRT Laluan Shah Alam (LRT3) merupakan antara kawasan yang paling sesak di negara yang memberi beban kepada ekosistem seperti tempoh masa perjalanan, penggunaan bahan api, pelepasan karbon dan persekitaran negara.
“Di Bangkok pada beberapa tahun lalu terdapat kajian menunjukkan kerana kesesakan produktiviti itu menyusut begitu banyak sekali. Jadi, kita harus ingat mengapa dana suntikan untuk pembangunan prasarana itu sangat penting.
“Kerana kosnya terlalu tinggi, tetapi kalau dilihat umpamanya dari segi dampak kepada persekitaran, alam sekitar, kesesakan, penggunaan minyak dan gas serta diesel, semua itu ada kesan jika sistem itu tidak diperbaiki.
“Saya percaya Menteri Besar (kerajaan negeri) dan majlis perbandaran (pihak berkuasa tempatan) akan memberikan kerjasama supaya hal itu dilaksanakan dengan cekap,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran LRT 3 di sini semalam.
Terdahulu, Perdana Menteri menaiki tren LRT3 dari stesen Seri Andalas ke stesen Johan Setia yang mengambil masa perjalanan kira-kira 15 minit sebelum menyempurnakan majlis pelancaran.
Pada majlis sama, Anwar mengumumkan mengumumkan perkhidmatan percuma bagi LRT Laluan Shah Alam selama sebulan bermula hari ini.
LRT3 dari Bandar Utama ke Johan Setia sepanjang 37.8 kilometer (km) siap sepenuhnya dan sedia untuk beroperasi yang memberi manfaat kepada dua juta penduduk sekitar jajaran itu.
Anwar juga memaklumkan terdapat rancangan pembangunan seperti dimaksudkan berdekatan stesen-stesen pengangkutan awam di Kuala Lumpur supaya dapat dimanfaatkan oleh rakyat.
“Kawasan itu akan dinaikkan, ada parkir yang cukup, perumahan rakyat yang saya tidak fikir ada perumahan lima bintang di situ dan tentunya kedai-kedai sederhana dan rendah tetapi dimanfaatkan oleh rakyat.
“Jadi kawasan itu dengan sendirinya mengurangkan kos perjalanan, memudahkan penggunaan pengangkutan termasuk LRT dan MRT, tentunya memberikan hasil komersial lebih baik dan terutamanya perumahan rakyat.
“Walaupun tanah-tanah itu milik Prasarana (Prasarana Malaysia Berhad), tetapi saya percaya mereka akan teliti hal tersebut kerana tanah yang luas di kawasan mereka tidak seharusnya dibazirkan,” jelasnya.
Anwar menambah, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan diminta bekerjasama menyegerakan supaya aspek pembangunan itu ditumpukan oleh sektor berasingan supaya Prasarana juga dapat menumpukan kepada penyediaan pengangkutan awam.
Perdana Menteri turut menyentuh penambahan kuarters penjawat awam di tanah milik kerajaan terutama di kawasan yang terdapat rumah-rumah lama seperti dimiliki Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Bahagian Penyelenggaraan Perumahan.
“Kadang-kadang ada kawasan rumah yang lama kita boleh bangunkan, ada tanah lapang. Jadi kita teliti, rupanya boleh dibangunkan. Di Pulau Pinang mungkin sukar kerana tanah kerajaan terbatas.
“Tetapi di Perak, sekitar Ipoh masih ada. Di Kuantan, Pahang dan Johor pun masih ada. Tidak ada yang kita boleh harapkan, sebab itu Kerajaan Persekutuan campur tangan. Untuk apa? Untuk menjamin kegunaan (kuarters) penjawat awam di tanah kerajaan didirikan,” katanya.
Anwar berkata, beberapa kawasan di negeri-negeri sudah dikenal pasti seperti di Perak dan Johor yang akan dimulakan.
“Johor Bahru di Larkin kita akan bangunkan di atas tanah yang ada. Apa maksud yang saya hendak sampaikan? Banyak hal yang kita lakukan, kalau diberi tumpuan pada keutamaan, negara ini dalam tempoh ini akan mencatat prestasi yang baik,” ujarnya.-UTUSAN










