Rohingya sanggup bayar RM15,000 masuk Malaysia

Rohingya sanggup bayar RM15,000 masuk Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelarian Rohingya sanggup membayar sehingga RM15,000 semata-mata untuk masuk ke negara ini bagi mendapatkan perlindungan selepas menjadi sasaran pembersihan etnik oleh kerajaan Myanmar sejak lebih 40 tahun lalu.

Kadar antara RM10,000 hingga RM15,000 itu dibayar kepada sindiket penyeludupan antarabangsa bagi membolehkan seseorang pelarian etnik itu dibawa masuk ke Malaysia melalui jalan udara.

Presiden Pertubuhan Rohingya Malaysia, Zafar Ahmad Abdul Ghani Mehrom mendakwa, kos yang tinggi itu tidak menghalang etnik Rohingya daripada mengambil risiko memasuki negara ini kerana mereka melihat Malaysia sebagai destinasi yang lebih selamat untuk memulakan kehidupan baharu.

Menurut beliau, sebahagian daripada mereka terpaksa menjual harta benda, meminjam wang atau mendapatkan bantuan saudara-mara bagi membiayai perjalanan tersebut.

“Ramai yang datang ke Malaysia bukan kerana mahu mencari kemewahan, tetapi kerana mereka sudah tidak mempunyai pilihan lain. Mereka melarikan diri daripada penindasan, konflik dan ketidakpastian masa depan di negara asal.

“Disebabkan itu, mereka sanggup membayar apa sahaja jumlah yang diminta sindiket asalkan dapat keluar daripada situasi yang mengancam keselamatan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, terdapat kes membabitkan etnik Rohingya yang diculik oleh sindiket pemerdagangan manusia sebelum dihantar ke Malaysia.

Jelasnya, sindiket akan meminta wang tebusan dalam jumlah agak besar kepada keluarga atau kenalan mangsa.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Sejarah Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Aizat Kairi berkata, berdasarkan kajiannya berhubung isu Rohingya sejak 2009 mendapati, terdapat dua laluan digunakan pelarian itu untuk masuk ke negara ini iaitu jalan laut dan udara.

Katanya, bayaran dikenakan terhadap pelarian itu juga berbeza mengikut laluan hendak digunakan dan mengambil kira faktor risiko serta perkhidmatan sindiket.

“Misalnya, jika mereka memilih untuk melalui jalan laut, bayaran dikenakan oleh sindiket antara 40,000 hingga 50,000 taka atau sekitar RM1,500 hingga RM1,600 setiap orang.

“Bagaimanapun, bayaran dikenakan bagi mengikut laluan udara lebih tinggi kerana memerlukan perkhidmatan sindiket pemalsuan pasport yang dipercayai berpangkalan di Bangladesh,” katanya.

Beliau berkata, kebiasaannya, pelarian akan menggunakan laluan haram untuk ke negara ini dari wilayah asalnya iaitu di Rakhine, Myanmar atau dari kem pelarian Cox’s Bazar, Bangladesh.

Katanya, pergerakan masuk ke Malaysia lazimnya melibatkan jalan laut dengan menjadikan negara tetangga seperti Thailand dan Indonesia sebagai transit sebelum cuba masuk ke Malaysia.

“Jika melalui jalan darat, biasanya lokasi tumpuan digunakan pelarian ini adalah menerusi Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Kelantan,” katanya.

Mengulas lanjut, Aizat juga memberitahu bahawa rangkaian sindiket digunakan pelarian itu sangat luas dan bersifat rentas negara yang melibatkan pelbagai pihak termasuk perekrut, tekong, pengendali bot, pemandu darat, rumah transit, pemungut bayaran dan pihak-pihak berkaitan melindungi operasi tidak sah.

“Oleh sebab itu, isu ini bukan sekadar isu sempadan. Ia juga berkait dengan pemerdagangan manusia, keselamatan maritim, rasuah, ekonomi gelap dan kelemahan tadbir urus migrasi.

“Pelbagai pihak terlibat termasuk Myanmar, Bangladesh, Thailand, Malaysia dan juga warga Rohingya itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata, sejak bertapaknya komuniti Rohingya di seluruh tanah air, Malaysia menjadi antara destinasi utama untuk pelarian itu mendapatkan perlindungan kerana pelbagai faktor termasuk jaringan sosial, kekeluargaan, hubungan sesama etnik dan semangat persaudaraan Islam.

Selain itu, katanya, Malaysia juga menjadi pilihan utama mereka disebabkan peluang ekonomi yang menawarkan pekerjaan walaupun dalam sektor tidak formal seperti pembinaan, restoran, pembersihan, pasar borong, kerja am, kitar semula, gudang, cuci kereta, potong rumput dan sebagainya.

“Manakala, jaringan terbesar pelarian Rohingya di Malaysia pula tertumpu di Lembah Klang khususnya Kuala Lumpur dan Selangor. Antara kawasan yang sering dikaitkan ialah Selayang, Ampang, Cheras, Klang dan kawasan pinggir bandar.

“Komuniti Rohingya yang besar juga terdapat di Pulau Pinang, Johor, Kedah dan beberapa negeri lain di pantai timur seperti Terengganu dan Kelantan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN