TAWAU: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM7.5 juta bagi membina pos kawalan sempadan di Kampung Sungai Aji Kuning, Pulau Sebatik sebagai usaha memperkukuh kawalan keluar masuk negara dan membanteras jenayah rentas sempadan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, peruntukan itu meliputi kerja awalan jajaran jalan dan tembok keselamatan termasuk pembinaan pos keselamatan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, pembinaan kemudahan itu penting memandangkan Pulau Sebatik adalah kawasan sempadan strategik yang memerlukan pemantauan lebih rapi terutama terhadap pergerakan keluar masuk penduduk dan aktiviti rentas sempadan.
“Hasil tinjauan mendapati pihak Indonesia sudah lama mempunyai pos kawalan di kawasan berkenaan manakala Malaysia masih belum memiliki kemudahan seumpamanya di titik sempadan.
“Alhamdulillah, perancangan berjalan dengan baik dan kita berharap projek ini dapat direalisasikan mengikut garis masa yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui sempena lawatan kerja ke projek sempadan Sabah di Pulau Sebatik, hari ini.
Mustapha berkata, ketiadaan pos kawalan, jalan dan tembok keselamatan menyukarkan agensi penguat kuasa memantau dan mengawal keselamatan di kawasan itu.
Jelasnya lagi, perbezaan harga barangan subsidi yang lebih murah di Malaysia berbanding Indonesia turut menyumbang kepada ketirisan subsidi dan aktiviti penyeludupan.
Beliau berkata, projek itu kini dalam fasa kerja awalan, manakala pembinaan dijangka bermula pada 2027 tertakluk kepada kelulusan pewartaan tanah dan pengesahan tapak.
“Berdasarkan perancangan awal, kita menjangkakan projek ini siap dalam tempoh dua tahun dan berharap pelaksanaannya berjalan mengikut jadual,” katanya. – UTUSAN










