Rampasan kes jual barang tiruan cecah RM6.03 juta 

Rampasan kes jual barang tiruan cecah RM6.03 juta 

MOHD. SABRI SEMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kes penjualan barangan tiruan mencatatkan nilai rampasan tertinggi oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur dalam tempoh lima bulan tahun ini dengan jumlah mencecah RM6.03 juta.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd. Sabri Seman berkata, sebanyak 31 kes melibatkan pelanggaran Akta Cap Dagangan 2019 direkodkan dalam tempoh tersebut, sekali gus menyumbang sebahagian besar daripada keseluruhan nilai rampasan yang dicatatkan.

Menurut beliau, sepanjang lima bulan pertama tahun ini, KPDN Kuala Lumpur merekodkan 247 kes pelbagai kesalahan di bawah akta perdagangan dan kepenggunaan dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM6.74 juta.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 237 kes dibuka sebagai kertas siasatan dengan nilai rampasan RM6.52 juta, manakala 10 lagi diklasifikasikan sebagai kertas inkuiri membabitkan rampasan bernilai RM220,578,” katanya kepada media dalam program Sambutan Hari Penguat Kuasa ke 54 peringkat KPDN WPKL di Ampang Superbowl Ampang Point semalam.

Beliau berkata, selain kes cap dagangan, sebanyak 11 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 turut direkodkan dengan nilai rampasan RM489,094.20, manakala 125 kes melibatkan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Dalam usaha memperkukuh penguatkuasaan, katanya, KPDN telah memeriksa sebanyak 16,543 premis perniagaan di sekitar ibu negara sepanjang tempoh sama.

“Sektor perdagangan runcit mencatatkan jumlah pemeriksaan tertinggi iaitu 8,746 premis, diikuti sektor makanan sedia dimakan sebanyak 2,708 premis dan sektor pembekalan melibatkan 1,718 premis,” ujarnya.

Menurut Mohd. Sabri, pihaknya turut mengeluarkan sebanyak 231 kompaun dengan nilai keseluruhan RM235,300, termasuk 208 kompaun secara serta-merta atau on the spot berjumlah RM69,300.

“Selain itu, mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda keseluruhan RM219,100 membabitkan 16 kertas siasatan yang telah diselesaikan,” jelasnya.

Mengulas mengenai pengurusan aduan pengguna, katanya,sebanyak 5,457 aduan diterima dalam tempoh Januari hingga Mei lalu dengan 5,042 daripadanya berjaya diselesaikan, mewakili kadar penyelesaian sebanyak 92.4 peratus.

“Aduan berkaitan perkhidmatan mengelirukan merekodkan jumlah tertinggi iaitu 1,358 kes, diikuti transaksi dalam talian sebanyak 1,087 kes dan isu harga sebanyak 795 kes,”ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Sabri berkata, Ops Jeriji 2026 yang dilaksanakan KPDN Kuala Lumpur turut menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila merekodkan pencapaian 120 peratus selepas 24 individu ditahan berbanding sasaran awal seramai 20 orang.

“Sepanjang operasi itu, sebanyak 11 kes melibatkan pelbagai kesalahan di bawah akta berkaitan telah direkodkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN