ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri akan terus memastikan setiap agenda pembangunan dan kemajuan yang dilaksana berlandaskan nilai-nilai Islam bagi menjamin kemakmuran berkekalan serta kesejahteraan rakyat pelbagai kaum.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kemajuan fizikal serta ekonomi semata-mata tidak akan menjamin kestabilan sesebuah negara seperti yang berlaku di beberapa negara Asia Barat.
Katanya, negara seperti Iraq, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Dubai pernah mencapai kegemilangan pelbagai bidang, namun peperangan dan konflik meruntuhkan kegemilangan itu.
“Ekonomi kukuh boleh runtuh sekelip mata, hotel terpaksa tawar diskaun besar kerana pelancong tidak lagi datang dan aktiviti perdagangan turut terjejas. Sebab itu saya sedar bahawa pembangunan yang ingin dibawa ke Johor mesti berpaksikan nilai-nilai Islam,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Maal Hijrah 1448H Peringkat Negeri Johor di Dewan Utama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), di sini hari ini.
Tambah beliau, pendekatan tersebut terbukti apabila hasil negeri menunjukkan peningkatan memberangsangkan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
“Tahun lalu Johor berjaya mencatat kutipan hasil sebanyak RM2.6 bilion berbanding sasaran awal RM2 bilion, manakala kutipan zakat meningkat daripada RM367 juta pada tahun 2022 kepada RM448 juta tahun lalu. Hasil tanah, hasil pihak berkuasa tempatan dan pelbagai sumber lain turut meningkat. Semua kejayaan ini bukan kerana kebijaksanaan manusia semata-mata, sebaliknya dengan izin Allah.
“Saya percaya apabila hasil negeri dipulangkan semula kepada rakyat, maka Allah akan melipatgandakan lagi rezeki dan keberkatan kepada negeri ini,” katanya.
Pada majlis tersebut, kerajaan negeri menobatkan tokoh akademik dan pakar sejarah tempatan, Prof. Datuk Dr. Kassim Thukiman sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Johor 1448H/2026M.
Kassim yang juga bekas pensyarah kanan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, anugerah itu merupakan penghormatan tertinggi diterimanya dan akan menjadi pendorong untuk terus berbakti kepada masyarakat.
“Walaupun telah menamatkan perkhidmatan di UTM, saya masih aktif menjalankan kerja akademik bersama Majlis Agama Islam Negeri Johor, Yayasan Warisan Johor dan Arkib Negara Malaysia bagi menyebarluaskan sejarah Kesultanan Johor serta Bangsa Johor.
“Kejayaan negeri ini membuktikan kepentingan Islam sebagai tunjang pentadbiran. Dasar pendidikannya juga telah melahirkan ramai tokoh yang menyumbang kepada pembinaan negara bangsa seperti Datuk Onn Jaafar, Datuk Jaafar Muhammad, Mohamed Salleh Perang dan lain-lain.
“Kesemua ini menunjukkan bahawa Islam dan sejarah merupakan asas penting yang perlu terus dipertahankan dalam usaha membangunkan negeri dan negara,” katanya.-UTUSAN










