Pemuda OKU penglihatan terima Anugerah Ikon Asnaf Maal Hijrah  - Utusan Malaysia

Pemuda OKU penglihatan terima Anugerah Ikon Asnaf Maal Hijrah 

KHAIRRUDDIN Mazli menerima Anugerah Ikon Asnaf dalam majlis sambutan Maal Hijrah 1448H /2026M peringkat negeri Perak yang berkenan disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di Ipoh Perak. - UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pemuda cacat penglihatan, Khairruddin Mazli,35, berhasrat untuk mengajak lebih ramai golongan orang kurang upaya (OKU) bagi menceburi bidang urutan badan dan refleksologi bagi menjana pendapatan sendiri.

Dia yang hilang penglihatan sepenuhnya ketika berusia 20 tahun akibat glaukoma berkata, hasrat itu merupakan antara perancangannya setelah lebih sedekad berkecimpung dalam bidang tersebut.

Bermula secara kecil-kecilan sejak 2015, dia kini mengusahakan pusat perkhidmatan sendiri di Ipoh dengan nama Sufi Reflexology.

“Hendak kembangkan lagi perkhidmatan ini. Saya ingin membawa rakan-rakan OKU lain dalam bidang urutan ini. Buat sama-sama,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Khairruddin merupakan penerima Anugerah Ikon Asnaf semasa majlis sambutan Maal Hijrah 1448H /2026M peringkat negeri Perak yang berkenan disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.  

Katanya, dia berdepan masalah glaukoma sebaik sahaja tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum disahkan buta kekal pada awal usia 20-an.

“Ketika itu saya terfikir, bagaimana saya mahu mencari pekerjaan dan punca pendapatan,” katanya.

Pemuda itu kemudian menyertai Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) untuk mendapatkan bantuan modal dan ilmu kemahiran.

Jelasnya, bidang urutan badan dan refleksologi merupakan cabang perniagaan yang baik buat golongan OKU untuk berdikari mencari pendapatan sendiri.

Anak keempat daripada enam adik-beradik itu pernah menyertai Pasukan Bola Sepak Orang Buta Malaysia (BFAM) sebelum serius mula mendalami kemahiran urutan.

Dia mengharapkan anugerah yang diterimanya menjadi pencetus semangat kepada dirinya serta warga OKU untuk aktif menceburi pelbagai bidang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN