MPT4: Ibu bapa kongsi perasaan, persediaan anak-anak

MPT4: Ibu bapa kongsi perasaan, persediaan anak-anak

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Demam dan influenza tidak menghalang sesetengah murid Tahun Empat hadir ke sekolah bagi menduduki Matriks Pembelajaran Tahun Empat (MPT4) yang bermula hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perkara itu dikongsikan beberapa ibu bapa menerusi media sosial, termasuk kisah anak yang tetap ke sekolah selepas mengalami demam dan disahkan positif influenza.

Pengguna Threads, Yantijamal berkongsi kisah anaknya, yang mengalami influenza dan muntah-muntah sehingga perlu mendapatkan rawatan di unit kecemasan malam tadi.

Menurutnya, pihak sekolah membenarkan anaknya menduduki MPT4 di bilik kuarantin, selain menetapkan tandas yang boleh digunakan dan tidak membenarkannya keluar ketika waktu rehat.

“Malam tadi pergi kecemasan sebab muntah-muntah. Nasib baik cikgu bagi untuk hadir walaupun di bilik kuarantin. 

“Tandas pun cikgu sudah pilih mana yang anak saya boleh guna. Rehat tak boleh keluar, makan dalam kelas,” katanya.

Kongsinya, dia turut menyediakan plastik muntah sebagai persediaan sekiranya keadaan anaknya kembali tidak sihat ketika menduduki MPT4.

“Tak kisahlah Suri anakku, janji Suri sihat. Keputusan apa pun Umi reda,” katanya.

Sementara itu, pengguna Adiwarna berkata, anaknya turut hadir ke sekolah hari ini, selepas disahkan positif influenza pada malam sebelum MPT4.

Katanya, anaknya sebelum itu mengalami demam dan dibawa ke klinik selepas dijangkiti dari keluarganya dan malam semalam disahkan positif influenza.

“Anak saya baru disahkan influenza malam tadi. Kesian juga nak minta dia tak payah jawab, tapi anak tetap nak pergi sekolah. Nasib baik pihak sekolah bagi ruang khas untuk kuarantin,” katanya.

Sementara itu, pengguna Ame Ynadirah berkongsi bahawa pihak Lembaga Peperiksaan (LPM) memaklumkan murid yang tidak hadir kerana sakit boleh menduduki semula MPT4.

Katanya, terdapat sekolah yang mengumpulkan murid tidak sihat di bilik kuarantin dan mereka masih perlu menduduki pentaksiran berkenaan.

Matriks Pembelajaran Tahun Empat (MPT4) berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 8 Oktober, membabitkan seramai 460,771 murid Tahun Empat di seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN