Puteri kedua Raja Muda Perlis tamat Kursus Asas Perajurit Muda

Puteri kedua Raja Muda Perlis tamat Kursus Asas Perajurit Muda

Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail ketika menjalani latihan Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS) Tentera Darat Malaysia yang berlangsung dari 7 hingga 20 Jun 2026 di kawasan hutan Pauh Putra, Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Anakanda kedua Raja Muda Perlis, Sharifah Farah Adriana Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berjaya menamatkan Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS) Tentera Darat Malaysia di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Sharifah Farah Adriana, 25, menyertai kursus berkenaan yang berlangsung selama dua minggu bermula 7 hingga 20 Jun lalu.

Sharifah Farah Adriana merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT) University di Melbourne, Australia.

Beliau turut memiliki Ijazah Sarjana Perniagaan Antarabangsa dari Monash University Malaysia.

Kejayaannya menamatkan kursus tersebut mencerminkan bahawa tanggungjawab mempertahankan negara perlu dipikul secara bersama oleh setiap lapisan masyarakat.

Penglibatan anggota institusi diraja itu turut membawa mesej bahawa semangat kecintaan kepada negara perlu dipupuk tanpa mengira latar belakang dan kedudukan.

Majlis Perbarisan Penutup Kursus Asas itu disempurnakan Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Padang Boulevard, Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra, Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, Rejimen Askar Wataniah akan terus melaksanakan peranannya untuk merekrut, melatih dan mengekalkan kesiapsiagaan anggotanya.

Baginda bertitah, dalam konsep mobilisasi, proses merekrut bukan sekadar menambah bilangan anggota, sebaliknya memastikan sumber manusia yang tepat bersedia untuk diserap apabila diperlukan.

“Latihan pula perlu berkualiti supaya anggota mampu beroperasi secara bersepadu dengan Angkatan Tetap.

“Pada masa sama, kesiapsiagaan anggota perlu sentiasa dipelihara bagi tujuan penambahan kekuatan pada bila-bila masa,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, usaha tersebut menjadi kunci kepada kekuatan Tentera Darat dalam menghadapi sebarang cabaran keselamatan.

“Oleh itu, dalam usaha memperkasakan lagi Askar Wataniah, usaha promosi akan terus dipergiat dan dipantau secara berterusan untuk menarik lebih banyak penyertaan daripada golongan muda yang sihat tubuh badan serta memenuhi semua keperluan minimum yang ditetapkan untuk bersama-sama mempertahankan kedaulatan ibu pertiwi,” titah baginda.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Majlis berkenaan turut diadakan serentak dengan pelancaran kokurikulum Askar Wataniah UniMAP. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN