Isu infrastruktur yang masih belum mencapai tahap memuaskan antara cabaran utama yang terus membelenggu penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan berkata, perkara pertama yang perlu difahami adalah berkenaan demografi penduduk di kawasan itu yang terdiri daripada komuniti taman perumahan, kampung, estet dan nelayan.

Menurut beliau, kepelbagaian latar belakang penduduk menyebabkan pelbagai keperluan pembangunan perlu diberikan perhatian yang mana infrastruktur sedia ada masih belum mencapai tahap kepuasan kepada rakyat sepenuhnya.
Katanya lagi, masalah itu merupakan isu yang lama wujud dan diterimanya daripada pentadbiran terdahulu dan menjadi antara fokus utama beliau sejak dipilih sebagai wakil rakyat terutamanya meneruskan usaha menyelesaikan pelbagai perkara yang tertangguh.
“Antara perkara yang diberi perhatian adalah pembinaan dan penambahbaikan jalan raya. Banyak jalan di DUN Jeram mengalami kerosakan dan berlubang dan masih terdapat jalan yang belum diperbaiki walaupun telah lama digunakan penduduk.

“Keadaan ini berlaku kerana sebahagian besar kawasan Jeram melibatkan pembangunan industri dan perumahan.
“Kawasan seperti Puncak Alam, Alam Perdana dan Alam Jaya antara lokasi yang berkembang pesat. Pertumbuhan pembangunan tersebut menyebabkan banyak kenderaan berat menggunakan jalan-jalan di kawasan berkenaan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Harrison berkata, beliau kerap mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pemaju, Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dan pihak berkaitan namun kemajuan beberapa projek yang dirancang masih bergerak perlahan.
Beliau turut menyifatkan perkembangan itu sebagai lembab berdasarkan aduan yang diterima daripada rakyat.
Menurutnya, antara projek yang sering dibangkitkan adalah jalan utama Bukit Cerakah-Meru atu lebih dikenali sebagai Jalan LBS.
“Projek ini masih belum siap walaupun mengambil masa lebih lima tahun malah isu ini telah dibawa ke Sidang Dewan Negeri sebanyak empat hingga lima kali.


“Perkara ini juga telah mendapat perhatian Menteri Besar. Bagaimanapun, perkembangan projek berkenaan masih belum memuaskan,” katanya.
Harrison berkata, selain itu beliau turut menerima pelbagai aduan harian seperti jalan rosak, parit, longkang, bonggol jalan, lampu isyarat dan pokok besar dan memaklumkan banyak aduan mengenainya telah dibawa kepada pihak berkuasa tempatan, JKR dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Menurutnya, banyak isu berjaya diselesaikan hasil kerjasama dengan agensi berkaitan, namun beliau mengakui masalah jalan dan longkang adalah isu yang sentiasa berulang.
Dalam perkembangan berkaitan, Harrison turut menyentuh isu banjir yang berlaku di beberapa kawasan dalam DUN Jeram.
Menurutnya, kawasan yang paling teruk terjejas adalah Desa Coalfields, Kampung Sri Aman dan Taman Saujana Aman.
“Isu banjir di kawasan ini telah berkali-kali dibangkitkan dalam Sidang Dewan Negeri dan mempunyai rekod rasmi. Jawapan yang sering diberikan kerajaan negeri adalah pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB),” katanya.
Beliau menjelaskan RTB yang sedang diusahakan masih belum disiapkan sepenuhnya, manakala projek RTB baharu masih dalam perancangan.
Menurut Harrison, sehingga kini beliau masih belum melihat hasil yang benar-benar berkesan dalam menangani isu banjir di kawasan terbabit.
Pada masa sama, beliau turut membangkitkan isu kesesakan trafik di Bandar Puncak Alam yang menurutnya semakin membimbangkan berikutan pembangunan pesat perumahan dan perindustrian di kawasan tersebut.
Beliau berkata, jalan yang kecil dan tidak mampu menampung jumlah kenderaan yang semakin meningkat menjadi antara punca utama kesesakan.
“Perumahan tetap dibina di kawasan-kawasannya rendah. Saya pun tidak faham kenapa kebenaran merancang untuk membina kawasan perumahan ini diluluskan oleh PBT.
“Walaupun kawasan itu kita tahu kawasan rendah, kawasan kerap banjir dan perkara ini sudah banyak kali dibawa ke PBT dan juga ke Sidang Dewan, namun belum ada hasil yang jelas,” ujarnya.
Harrison turut memohon supaya kerajaan negeri dapat memberi tumpuan membangunkan Pantai Remis sebagai destinasi pelancongan.
“Pantai Remis mempunyai potensi besar sebagai destinasi pelancongan yang boleh dibangunkan demi manfaat ekonomi negeri dan masyarakat setempat, ribuan pelancongan datang setiap hujung minggu.
“Sudah banyak kali peruntukan diminta untuk membangunkan Pantai Remis, mungkin kerana ini kawasan pembangkang, tidak langsung dipandang, malah kerajaan negeri hanya lebih menumpukan kawasan Sekinchan, jadi ini satu kerugian untuk menjana pendapatan tambahan untuk negeri,” ujarnya.
Katanya, biarpun banyak kekangan kerana menjadi wakil rakyat pembangkang, namun beliau tetap berusaha dalam memberi bantuan serta menjaga kebajikan demi kesejahteraan penduduk Jeram.-UTUSAN










