“SAYA always happy.”
Demikian kata pelakon dan pelawak, Sathiya apabila ditanya tentang keadaannya yang terkini setelah berkerusi roda dan terpaksa beradaptasi dengan rutin baru selepas menjalani pembedahan kaki kiri untuk kali kedua kerana penyakit kencing manis yang kronik.
Sathiya atau nama penuhnya Sathia Periasamy, 62, yang kini menetap di Setapak, Kuala Lumpur, menanggung seorang isteri, Thilagam sementara dua anaknya sudah berkahwin dan tinggal berasingan.
Kerana itu, dalam keadaan apa juga keadaan, dia tidak pernah meninggalkan bidang lakonan yang dilakukan selama 40 tahun lamanya.
Ini kerana beliau masih memiliki tanggungan bagi menambah jumlah bantuan yang diterimanya daripada Yayasan Artis Tanah Air (YKAT) sebanyak RM500 sebulan.
Sebab itu, apabila Datuk Norman Abdul Halim menawarkan beliau watak Roti menerusi filem animasi Zan Orang Utan, beliau serta merta menyatakan persetujuan.
“Saya bersyukur kerana diberi peluang. Apatah lagi proses filem ini memakan masa satu hari, tidak memerlukan saya bergerak, hanya bercakap sahaja. Sekadar perlu ke KRU Studio untuk merakam suara,” katanya.

Sathiya disenangi penerbit kerana sikapnya yang tidak memilih naskhah. Amalan itu dipegang beliau sejak memasuki dunia lakonan kira-kira empat dekad lalu.
“Saya ‘angkat’ apa sahaja watak yang diberikan. Asalkan saya dapat menjana pendapatan. Saya dibayar jumlah yang mencukupi untuk filem animasi Zan Orang Utan, jumlah itu sudah memadai untuk kerja yang tidak berat,” katanya lagi.
Norman berkata, pemilihan Sathiya adalah tepat memandangkan watak Roti sangat sesuai dengan beliau yang mampu bertutur dalam bahasa Tamil.
Kata Norman, Sathiya mudah menyatakan persetujuan beliau untuk berkolaborasi dengan syarat pihak Norman datang menjemputnya untuk ke studio rakaman.
“Kami, menerusi filem ini ingin menonjolkan masyarakat Malaysia yang majmuk dan buat masa ini saya merasakan tiada siapa yang lebih layak selain Sathiya.
“Selain itu, pengalaman bekerjasama dengan beliau dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu selain Cicak Man 3 telah menarik minat saya untuk sekali lagi mengundang beliau dalam filem animasi Zan Orang Utan. Rakamannya akan bermula sekitar Julai ini.
“Pemilihan Sathiya adalah bersifat komersial, tidak ada kaitan dengan keadaannya. Ia semata-mata ingin menuntut keperluan watak tersebut,” katanya.

Norman berkata, suara merupakan aset berharga kepada artis yang tidak dapat mengikuti penggambaran untuk jangka masa yang panjang.
“Lebih-lebih lagi dalam usaha kami yang lebih ke arah virtual dan kandungan animasi.
“Suara merupakan aset yang boleh digunapakai terutamanya kepada artis yang tidak mampu untuk mengikuti penggambaran yang jauh dan berminggu-minggu.
“Saya harap dengan cara ini akan membuka peluang kepada artis-artis veteran untuk menjana pendapatan menerusi filem animasi dan sebagainya,” kongsinya.

Pi Mai Pi Mai Tang Tu
Sathiya melangkah ke dalam dunia drama Melayu pada tahun 1994 menerusi drama Pi Mai Pi Mai Tang Tu selepas dia dicadangkan kepada Othman Hafsham oleh pelakon, arwah Ahmad Busu.
Sebelum berlakon drama dan filem Melayu, Sathiya, yang bermula kariernya sebagai pelakon pada 1984, banyak terlibat dalam naskhah berbahasa Tamil yang dihasilkan oleh produksi tempatan dan antarabangsa.
“Saya dan Ahmad Busu berkawan baik. Ketika Othman bercadang membikin sebuah sitkom, beliau mencari pelakon dari latar belakang yang berbeza. Kebetulan Ahmad Busu mengenali saya dan memperkenalkan saya kepada Othman.
“Pi Mai Pi Mai Tang Tu adalah sitkom yang panjang. Menerusinya saya berusaha memperbaiki mutu percakapan bahasa Melayu dan banyak bergaul dengan orang Melayu,” katanya.
Jaga disiplin
“Jangan lambat.”
Itu pesanan Sathiya buat pelakon yang baru meningkat naik. Isu disiplin seperti datang lambat katanya menjadi antara masalah yang sering dicetuskan segelintir muka-muka baharu di set penggambaran.
“Memang ada pelakon yang datang lambat. Selama 43 tahun berlakon, saya tidak pernah lambat. Kalau disuruh datang pukul 8 pagi, 7.30 pagi saya sudah bersedia di lokasi penggambaran.
“Ia ibarat kapal terbang, berlepas tepat waktu dan meninggalkan sesiapa sahaja yang datang lewat. Jika lambat, akan mengganggu proses penggambaran, mengakibatkan ramai orang terkesan,” kongsinya.
Kata Sathiya lagi, selama berkecimpung dalam dunia lakonan, beliau banyak berhadapan masalah tersebut yang kebanyakannya berpunca daripada pengurusan masa yang longgar.
“Alasan yang diberikan pelbagai, antara yang selalu saya dengar adalah terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Ini akan menyusahkan orang lain,” kongsinya.
Terima kasih Dave
Bagai sinar di hujung terowong, kaki kiri Sathiya yang dipotong akan diganti kaki palsu.
Sathiya berterima kasih kepada Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air, Datuk DJ Dave yang menyerahkan permohonan untuk mendapatkan kaki palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Saya tidak mampu berdiri. Agak sukar kerana berat badan ditampung oleh kaki kanan. Kalau ke hospital pula, saya akan berdiri dengan bantuan mesin. Keadaan jadi lebih seimbang.
“Tapi ada atau tidak kaki palsu, saya tetap gembira. Cuma kaki palsu ini membantu pergerakan lebih-lebih lagi ada beberapa filem, iklan dan drama yang telah saya terima,” katanya.
Dalam pada itu, Sathiya meluahkan rasa syukur kerana kaki palsu tersebut memberi peluang dan memudahkan dia untuk aktif dalam dunia lakonan.
“Untuk mendapatkan kaki palsu tidak murah. Kerana ini saya berterima kasih kepada DJ Dave yang mengusahakan kaki palsu itu,” kongsinya.










