PSP rekod pendaftaran pelajar tertinggi, bukti TVET semakin dapat perhatian

PSP rekod pendaftaran pelajar tertinggi, bukti TVET semakin dapat perhatian

MOHD. Ruzi Hamzah (kanan) menyantuni beberapa pelajar baharu pada majlis perasmian MTS di PSP, Bukit Mertajam, Pulau Pinang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Tarikan untuk menyambung pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ketika ini menyaksikan Politeknik Seberang Perai (PSP) berjaya merekodkan jumlah pendaftaran pelajar tertinggi dalam sejarah institusi itu bagi Sesi I 2026/2027, baru-baru ini.

Menurut PSP dalam satu kenyataan, seramai 1,457 pelajar baharu telah melapor diri pada sesi pendaftaran yang dikenali sebagai Majlis Perasmian Minggu Transformasi Siswa (MTS) yang berlangsung selama dua hari iaitu pada Sabtu dan Ahad lepas.

Difahamkan, antara faktor yang mendorong ke arah peningkatan tersebut ialah keyakinan terhadap TVET sebagai laluan pendidikan yang mampu menawarkan prospek kerjaya yang luas, kemahiran yang relevan dengan industri serta peluang masa depan yang lebih cerah.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi (PPPI), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Shahiza Ahmad ketika berucap sempena MTS yakin bahawa PSP akan terus melahirkan graduan yang cemerlang serta mempunyai jati diri yang kukuh dan mampu menjadi peneraju perubahan pada masa hadapan.

“Saya yakin dan percaya bahawa daripada kampus ini akan lahir generasi yang berilmu, berkemahiran, berintegriti dan berjiwa besar. Generasi yang bukan sekadar mencari pekerjaan, tetapi mencipta peluang pekerjaan. Generasi yang bukan sekadar mengikuti perubahan, tetapi memimpin perubahan,” katanya.

Bagi Pengarah PSP, Mohd. Ruzi Hamzah pula, peningkatan jumlah kemasukan pelajar membuktikan bahawa TVET semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda atau Generasi Z yang melihat pendidikan berasaskan kemahiran sebagai pilihan terbaik untuk membina kerjaya masa depan.

Dalam perkembangan berkaitan, kisah kegigihan seorang pelajar baharu PSP dari Kota Belud, Sabah yang datang bersendirian ke Pulau Pinang dan terpaksa bermalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) sebelum hari pendaftaran menarik perhatian umum.

Nur Juliyani Rustam yang akan mengikuti kursus Diploma Kewangan Islam itu bagaimanapun bertuah kerana pihak pengurusan PSP telah mengatur pengangkutan bagi menjemput serta membawa pelajar terbabit terus ke kolej kediaman selepas menerima maklumat mengenai perkara tersebut.

Selain Nur Juliyani, PSP turut mencipta sejarah tersendiri apabila menerima seorang pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU), Ashraff Eidris Amir Hamidi dari Putrajaya, yang mendaftar dalam program Diploma Teknologi Maklumat (DIT) sekali gus membuktikan bahawa peluang pendidikan TVET di PSP terbuka kepada semua tanpa mengira latar belakang serta keupayaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN