KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) tidak akan mencampuri urusan melibatkan institusi diraja dan proses perundangan di Negeri Sembilan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu akan datang.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keutamaan gabungan tersebut ketika ini adalah kesiapsiagaan bagi menghadapi PRN di negeri itu selain memastikan penyatuan dalam kalangan kepimpinan dan ahli di semua peringkat.
“Pertemuan itu adalah untuk kesiapsiagaan menghadapi PRN dan perkara-perkara yang kite tekankan bahawa kita tidak akan pernah mencampuri soal perundangan terutamanya institusi raja dan juga Dewan Keadilan Undang di Negeri Sembilan.
“Kita mesti berada di luar daripada lingkungan berkenaan.
“Yang penting ialah penyatuan dalam kalangan kepimpinan dan ahli-ahli di semua peringkat untuk menghadapi pilihan raya ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi 2025 di Hotel Premiera di sini hari ini.
Beliau ketika mengulas berhubung intipati perjumpaan khas Kepimpinan Empat Peringkat UMNO Bahagian di Negeri Sembilan semalam.
Ahmad Zahid berkata, jentera BN juga perlu bersedia menghadapi situasi yang disifatkan luar biasa pada PRN kali ini.
Menurutnya, berbeza dengan PRN ke-15 sebelum ini apabila BN bergerak bersama parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH), gabungan itu akan bertanding secara solo pada PRN Negeri Sembilan.
“Kita memberi penekanan gerak kerja yang kita hadapi ini dalam situasi yang luar biasa.
“Kalau dahulu di dalam pilihan raya yang ke-15, kita bersama-sama dengan parti-parti komponen dalam PH, tetapi tidak lagi pada kali ini kerana itu adalah pilihan yang dibuat oleh UMNO dan Barisan Nasional Negeri Sembilan. Maka kita akan pergi solo,” katanya. – UTUSAN










