PRN Johor: SPR keluar 24,677 kertas undi pos kepada individu layak

PRN Johor: SPR keluar 24,677 kertas undi pos kepada individu layak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan 24,677 kertas undi pos kepada individu yang berhak mengundi secara pos seperti diperuntukkan bawah Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, pengeluaran kertas undi pos telah dijalankan Petugas Pilihan Raya di semua 56 kawasan Dewan Negeri, hari ini.

Katanya, proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding.

“Kesemua 24,677 kertas undi pos tersebut terdiri daripada 23,288 kategori Petugas Pilihan Raya, Ahli/Pegawai SPR, Anggota Polis, Anggota Tentera, dan Petugas Media; 1,044 kertas undi pos kategori warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara dan 345 kertas undi pos kategori Agensi/Organisasi.

“SPR mengingatkan semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Perisytiharan Identiti serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus Dewan Negeri berkenaan sebelum pukul 5 petang pada Hari Mengundi iaitu pada 11 Julai 2026,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Khairul Shahril, pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN