KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 8 Oktober ini sebagai tarikh mendengar permohonan kerajaan membatalkan saman yang difailkan lima ahli Parlimen pembangkang berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balik Malaysia-Amerika Syarikat (ART).
Perkara itu dimaklumkan Peguam Persekutuan, Mohammad Sallehuddin Md. Ali semasa prosiding pengurusan kes di hadapan Hakim, Datuk Azizan Md. Arshad.
Dalam prosiding sama, peguam P. Waythamoorty yang mewakili kesemua plaintif memaklumkan bahawa anak-anak guamnya turut memfailkan permohonan untuk merujuk beberapa persoalan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan berhubung perkara sama.
Permohonan itu juga ditetapkan untuk pendengaran pada hari yang sama.
Lima Ahli Parlimen yang juga plaintif bagi kes ini ialah Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Fathul Huzir Ayob (Gerik), Datuk Awang Solahuddin Hashim (Pendang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) dan Datuk Abdul Khalid Abdullah (Rompin).
Mereka memohon Mahkamah Persekutuan memutuskan persoalan penting mengenai kesahan perjanjian itu, yang didakwa telah ditandatangani tanpa kelulusan Parlimen.
Saman pemula itu difailkan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan sebagai defendan berhubung dakwaan bahawa perjanjian ART telah ditandatangani tanpa mendapat persetujuan Parlimen.
Pada 26 Oktober 2025, Malaysia dan Amerika Syarikat menandatangani perjanjian melibatkan perdagangan dua hala itu sebagai rundingan bagi menangani isu tarif timbal balik yang dikenakan Washington terhadap eksport Malaysia.
Bagaimanapun, perkara itu mencetuskan perdebatan mengaitkan implikasi perjanjian itu terhadap kedaulatan negara, dasar perdagangan serta serta proses kelulusannya yang didakwa tidak dibahaskan di Parlimen. – UTUSAN










