Perdagangan perkhidmatan 2025 raih lebihan RM5.3 bilion - Utusan Malaysia

Perdagangan perkhidmatan 2025 raih lebihan RM5.3 bilion

- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rangkaian perdagangan perkhidmatan Malaysia melakar sejarah baharu apabila mencatatkan lebihan bersih sebanyak RM5.3 bilion pada 2025, sekali gus menamatkan trend defisit berpanjangan yang dialami sejak 2011.

Pencapaian luar biasa itu disokong oleh pertumbuhan dua digit jumlah perdagangan perkhidmatan negara yang melonjak 11.5 peratus mencecah RM550.5 bilion, berbanding RM493.6 bilion pada tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, lonjakan tersebut mencerminkan pertumbuhan eksport perkhidmatan negara yang bergerak jauh lebih kukuh berbanding kadar import.

“Eksport perkhidmatan berkembang dengan ketara sebanyak 15.6 peratus kepada RM277.9 bilion pada 2025. Pertumbuhan ini disokong oleh peningkatan penerimaan terutamanya dalam komponen perjalanan, perkhidmatan telekomunikasi, komputer dan maklumat, serta perkhidmatan perniagaan lain.

“Import perkhidmatan pula mencatatkan peningkatan yang lebih sederhana iaitu sebanyak 7.7 peratus kepada RM272.6 bilion berbanding RM253.1 bilion pada 2024,”katanya dalam kenyataan.

Menurut Mohd Uzir, komponen perjalanan kekal sebagai nadi dan penyumbang terbesar apabila menyumbang sebanyak 39.8 peratus daripada keseluruhan jumlah eksport perkhidmatan negara.

“Komponen ini merekodkan nilai eksport tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak RM110.6 bilion, melonjak 16.0 peratus tahun ke tahun. Ia selari dengan pertambahan ketibaan pelawat antarabangsa ke Malaysia yang mencecah 42.2 juta orang.

“Sebahagian besar ketibaan asing ini adalah bagi urusan peribadi dengan fokus perbelanjaan tertumpu kepada aktiviti membeli-belah, penginapan serta makanan dan minuman,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, perkembangan ekonomi digital negara yang semakin pesat turut memacu lebihan dagangan sebanyak RM2.3 bilion bagi komponen perkhidmatan telekomunikasi, komputer dan maklumat.

“Prestasi ini disokong oleh pertumbuhan e-dagang, perkhidmatan jarak jauh serta pelaburan besar dalam infrastruktur digital negara seperti pengkomputeran awan dan pusat data.

“Bagi rakan dagang utama, Singapura terus kekal sebagai destinasi utama eksport perkhidmatan Malaysia dengan nilai RM76.3 bilion, diikuti oleh Amerika Syarikat (RM42.9 bilion) dan China (RM27.8 bilion),”katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN