TAPAH: Kerajaan negeri dicadang mempertimbangkan penguatkuasaan peraturan khusus bagi aktiviti pendakian gunung di Perak, termasuk menetapkan tempoh minimum pendakian berdasarkan ketinggian sesuatu gunung.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, langkah itu penting bagi mengawal trend pendaki yang terlalu mengejar aktiviti compress hike atau pendakian singkat yang boleh menjejaskan aspek keselamatan.
Katanya, beberapa negeri telah menetapkan garis panduan tertentu melalui Jabatan Perhutanan yang menghadkan tempoh pendakian mengikut tahap kesukaran dan ketinggian gunung.
“Bagi ketinggian gunung yang melebihi 1,500 meter, pendaki mungkin perlu menghabiskan dalam tempoh tiga hari dua malam, manakala gunung melebihi 2,000 meter, mereka perlukan lima hari empat malam.
“Pendaki tidak sepatutnya dibenarkan melakukan compress hike sesuka hati kerana setiap gunung mempunyai tahap cabaran dan risiko berbeza,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut beliau, penguatkuasaan tempoh minimum pendakian mampu membantu mengurangkan kejadian keletihan melampau, kecederaan dan insiden yang boleh mengancam nyawa pendaki.
Malah katanya, langkah itu juga memudahkan pemantauan pihak berkuasa terhadap aktiviti pendakian di kawasan hutan simpan dan gunung di negeri ini.
“Sudah tiba masanya peraturan seperti itu dikuatkuasakan bagi mengelakkan aktiviti compress hike yang boleh menyebabkan banyak kecederaan dan perkara yang tidak diingini berlaku kepada pendaki,” katanya.
Dalam pada itu beliau berpandangan, gunung yang melebihi ketinggian 1,800 meter tidak sesuai untuk aktiviti compress hike kerana memerlukan tempoh pendakian lebih panjang dan rehat yang mencukupi
Katanya, trend pendaki yang memendekkan tempoh pendakian daripada empat ke lima hari kepada satu hari dilihat semakin membimbangkan.
“Bagi gunung di bawah 1,300 hingga 1,500 meter, aktiviti compress hike atau day hike masih boleh dipertimbangkan.
“Namun bagi ketinggian melebihi 1,800 meter, pendaki disaran untuk berkhemah kerana ia memerlukan persediaan lengkap termasuk makanan, peralatan keselamatan dan sokongan komunikasi,” katanya.
Terdahulu, JBPM Perak mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih bersama 13 rakan pendaki lain serta dua malim gunung pada 23 Mei lalu.
Difahamkan, mangsa yang cedera di kaki sebelum itu berhenti rehat bersama seorang lagi pendaki lelaki dan seorang malim gunung di Kem Batu Core selepas lelaki terbabit mengalami masalah pernafasan.
Bagaimanapun, Jaslinda gagal dikesan selepas wanita itu dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak gunung. – UTUSAN










