SONGKHLA (THAILAND): Penternak udang di Thailand berdepan kerugian sehingga RM488 juta setahun sekiranya Malaysia meneruskan larangan kemasukan lima jenis udang dari negara itu yang mula berkuat kuasa 1 Jun lalu.
Situasi tersebut mendorong Persatuan Udang Thailand menggesa kerajaan negara itu segera mencari jalan penyelesaian termasuk mengadakan rundingan dengan Malaysia bagi menarik balik sekatan berkenaan.
Naib Presidennya, Preecha Sukasem berkata, Kerajaan Thailand perlu membuka ruang perbincangan dengan Malaysia memandangkan kedua-dua negara terikat dalam Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).
Katanya, larangan tersebut dipercayai berkait rapat dengan tindakan Jabatan Perikanan Thailand yang sebelum ini melarang import ikan siakap dari Malaysia atas dakwaan mengandungi bahan berbahaya.
“Malaysia kini bertindak balas dengan mengharamkan eksport udang. Kaedah ujian sisa berbahaya yang digunakan Jabatan Perikanan Thailand terhadap siakap Malaysia kini digunakan pula ke atas udang Thailand.
“Kerajaan Malaysia mengumumkan akan mengenakan larangan ke atas eksport udang Thailand bermula 1 Jun. Jika ini benar-benar dilaksanakan, penternak udang di beberapa wilayah selatan yang mengeksport hasil mereka ke Malaysia dan Singapura bernilai RM488 juta setahun terjejas teruk,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Preecha yang juga penternak udang utama di Wilayah Songkhla berkata, pasaran udang di selatan Thailand sudah mula menerima kesan sebaik sahaja berita mengenai sekatan itu tersebar.
Katanya, harga udang di Songkhla dan beberapa wilayah lain menjunam sehingga RM4.88 sekilogram berbanding antara RM9.74 hingga RM14.61 sekilogram sebelum ini bergantung kepada saiz.
Katanya, eksport udang Thailand ke Malaysia melebihi 15,000 tan metrik setahun sekali gus menjadikan negera itu antara pasaran paling penting bagi industri tersebut di rantau ASEAN.
Beliau turut membangkitkan isu proses pemeriksaan yang panjang di Pusat Pemeriksaan Kastam dan Imigresen di Sadao yang mengambil masa antara satu hingga dua hari sehingga menjejaskan kesegaran udang dan ikan siakap import.
“Ini merosakkan pasaran kerana udang segar yang sebelum ini mempunyai nilai tinggi menjadi udang awet yang kurang bernilai akibat tempoh menunggu lama untuk melepasi sempadan sebelum sampai kepada pengguna di Malaysia,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memaklumkan, Malaysia akan memperketat kawalan import produk perikanan dari Thailand menerusi penguatkuasaan keperluan Sijil Analisis (CoA) bagi ikan siakap serta sekatan sementara terhadap lima spesies udang bermula 1 Jun lalu.
Sekatan sementara itu melibatkan spesies udang Penaeus esculentes, Fenneropenaeus merguiensis, Penaeus vannamei, Penaeus monodondanPenaeus stylirostris.
Langkah kawalan tersebut dilaksanakan secara bersepadu melibatkan beberapa agensi termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS). – UTUSAN










