Peningkatan populasi etnik Rohingya resahkan penduduk

Peningkatan populasi etnik Rohingya resahkan penduduk

PERTAMBAHAN komuniti Rohingya di negeri ini menimbulkan keresahan penduduk tempatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Peningkatan populasi etnik Rohingya di beberapa kawasan di Kedah mula menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk tempatan yang mendakwa berdepan pelbagai isu sosial dan ketidakselesaan akibat pertambahan komuniti ber­kenaan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, etnik Rohingya tidak lagi tertumpu di satu lokasi tertentu, sebaliknya menetap secara berselerak di kawasan yang turut didiami penduduk tempatan.

Antaranya Kampung Seberang Terus, Kampung Berjaya, Jalan Lumpur, Kampung Gunung Sali, kawasan Tongkang Yard serta sekitar Kuala Kedah dan Kubang Rotan termasuk Taman Kota Nelayan, Kampung Padang Garam dan Kampung Masjid.

Difahamkan, kebanyakan kediaman diduduki komuniti tersebut disewakan penduduk tempatan sama ada di kawasan tersorok atau lokasi yang mudah dikesan orang ramai.

Sebahagian besar daripada mereka bekerja sebagai buruh kasar dan mengambil upah dalam sektor pertanian serta pekerjaan lain yang memerlukan tenaga kerja, sekali gus menyumbang kepada peningkatan jumlah komuniti ber­kenaan di beberapa kawasan.

Dalam perkembangan ber­kaitan, terdapat kira-kira 70 pusat pembelajaran atau sekolah komuniti yang didakwa dikendalikan oleh etnik Ro­hingya dengan kerjasama penduduk tempatan di Kedah, termasuk sembilan daripadanya beroperasi di Kota Setar.

Pengerusi Pertubuhan Aman Kebajikan Ummah (PAKU), Amirul Syahir Muda, berkata perkara itu menimbulkan kebimbangan kerana kebanyakan pusat pembelajaran tersebut didakwa beroperasi tanpa mematuhi peruntukan di bawah Akta Pendidikan 1996 dan tidak melalui prosedur yang ditetapkan.

Premis digunakan keba­nyakannya merupakan rumah dan lot perniagaan di­sewa, sekali gus menyukarkan pengesanan.

“Ada sembilan sekolah sedemikian sekitar daerah Kota Setar termasuk di Kampung Berjaya dan Shahab Perdana. Berdasarkan pemantauan, ada lebih 70 sekolah seumpamanya di seluruh Kedah dengan jumlah tertinggi di Kota Setar dan Kuala Muda,” katanya.

Katanya, isu tersebut perlu diberi perhatian serius memandangkan sebarang penubuhan institusi pendidikan perlu mematuhi undang-undang dan prosedur yang ditetapkan kerajaan.

Sementara itu, seorang penduduk tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Zakaria, 50-an, berkata, pertambahan etnik Rohingya di kawasan mereka semakin ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Penduduk bimbang apabila melihat jumlah mereka semakin ramai dari semasa ke semasa. Ada juga yang sudah berkahwin dengan rakyat tempatan dan menetap di sini. Kami harap kerajaan melihat perkara ini secara serius dan memastikan semua proses berkaitan kemasukan serta penempatan mereka dipantau dengan lebih ketat,” katanya.

Katanya, kebimbangan penduduk turut berpunca daripada keadaan yang menyaksikan etnik berkenaan sering berkumpul dalam jumlah yang besar di beberapa kawasan tertentu.

“Setakat ini keadaan masih terkawal, tetapi kami tidak mahu semua pihak mengambil mudah isu ini kerana ia melibatkan kepentingan masyarakat setempat dan masa depan negeri,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×