Isu pelarian di Malaysia bukan perkara baharu. Sejak 1960-an, negara ini berhadapan dengan kehadiran pelarian Cina Indonesia, Moro, Kemboja dan juga pelarian Vietnam yang mendarat di Pulau Bidong. Ketika itu, pendekatan kerajaan bersifat kemanusiaan, sementara dan pragmatik. Malaysia menyediakan perlindungan sementara dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebelum sebahagian besar mereka ditempatkan semula ke negara ketiga dan ada juga yang pulang ke negara asal.
Namun, kedudukan Malaysia dalam isu pelarian sentiasa rumit. Negara ini tidak menjadi ahli kepada Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967. Maka, secara prinsipnya kerajaan tiada keperluan mematuhinya. Justeru, pengurusan pelarian selama ini banyak bergantung kepada pertimbangan pentadbiran, keperluan keselamatan, belas ihsan kemanusiaan dan kerjasama dengan UNHCR.
Masalah menjadi lebih besar apabila jumlah pelarian dan pemohon suaka meningkat. Sebahagian mereka hidup dalam ruang bandar, bekerja secara tidak formal, menghuni kawasan padat dan bergantung kepada dokumen UNHCR untuk bergerak.
Keadaan ini menimbulkan cabaran seperti pengesahan identiti, pertindihan data, risiko pemalsuan dokumen, isu kesihatan awam, keciciran pendidikan, aktiviti ekonomi tidak rasmi dan kebimbangan keselamatan setempat.
Pada masa sama, sentimen awam terhadap pelarian turut berubah. Isu yang tular di media sosial khususnya melibatkan komuniti Rohingya telah membentuk persepsi negatif disebabkan pelarian tidak menghormati budaya tempatan dan mengganggu ketenteraman awam.
Sebahagian dakwaan adalah berasaskan pengalaman masyarakat setempat manakala, sebahagian lagi dibesarkan melalui platform media sosial. Oleh itu, negara memerlukan suatu mekanisme pengurusan pelarian yang berstruktur, tersusun dan berautoriti.
Maka, kewujudan Dokumen Pendaftaran Pelarian atau DPP membawa makna penting. DPP bukan sekadar dokumen kerana ia suatu anjakan paradigma dalam pengurusan pelarian di Malaysia.
Matlamat utamanya adalah memasukkan pelarian dan pemohon suaka ke dalam sistem rasmi kerajaan. Selama ini, kerajaan banyak bergantung kepada data UNHCR. Namun, kebergantungan ini tidak memadai untuk pentadbiran negara, penguatkuasaan undang-undang dan perancangan dasar awam.
Melalui DPP, profil pelarian dapat didaftarkan secara lebih menyeluruh. Data biometrik seperti cap jari, pengecaman wajah dan maklumat asas individu membolehkan kerajaan mengetahui siapa mereka, di mana mereka berada, bagaimana pergerakan mereka berlaku dan apakah status semasa mereka.
Usaha ini penting kerana kerajaan tidak boleh mengurus kumpulan manusia yang tidak berada di dalam sistem. Tanpa data yang sahih, setiap tindakan kerajaan akan menjadi lambat, terpisah dan mudah dipertikai.
DPP juga berperanan sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap data pelarian yang dipegang oleh UNHCR. Hal ini tidak bermaksud menafikan peranan UNHCR. Sebaliknya, ia menegaskan isu pelarian di Malaysia mesti diurus melalui kerangka kedaulatan negara. UNHCR boleh terus menjadi rakan strategik, tetapi kerajaan mesti mempunyai pangkalan data sendiri agar dasar yang diwujudkan selari dengan maklumat yang tepat.
Perkara paling penting untuk difahami adalah DPP bukan jalan kepada pemberian kerakyatan. Sebaliknya, DPP adalah asas awal kepada sistem pengurusan yang lebih kukuh. Dengan data yang jelas, kerajaan boleh memantau aspek kesihatan, kebersihan, pendidikan, pekerjaan, kegiatan ekonomi dan aktiviti harian pelarian secara lebih cekap.
Dalam jangka panjang, DPP berpotensi menjadi dokumen sokongan untuk beberapa urusan yang sebelum ini kabur. Antaranya adalah permohonan lesen perniagaan, lesen memandu, pendaftaran perkahwinan, perceraian, kematian, pengebumian, kesihatan, pendidikan, pekerjaan terhad, pendaftaran kad SIM, langganan internet, bil utiliti serta proses penempatan ke negara ketiga melalui kerjasama UNHCR dan IOM. Semua ini perlu dibuat secara berfasa, terkawal dan tertakluk kepada undang-undang sedia ada.
DPP juga membuka ruang kepada advokasi undang-undang dan penerapan nilai sosial serta budaya. Pelarian perlu memahami bahawa keberadaan mereka di Malaysia menuntut pematuhan kepada undang-undang, tradisi setempat dan nilai kebangsaan.
Mereka perlu dididik untuk menghormati prinsip Rukun Negara khususnya aspek kesopanan dan kesusilaan. Mereka juga perlu memahami budaya masyarakat Malaysia yang menekankan budi bahasa, bantu-membantu, kebersihan, hormat-menghormati dan keharmonian kejiranan.
Dari sudut ekonomi, DPP boleh membantu kerajaan membezakan pelarian yang benar-benar rentan dengan mereka yang sudah mempunyai kedudukan ekonomi lebih stabil. Pada masa hadapan, kelompok yang menjalankan aktiviti ekonomi secara sah boleh dipertimbangkan untuk menyumbang kepada hasil negara melalui fi, levi dan cukai tertentu.
Namun, kejayaan DPP bergantung kepada pelaksanaannya. Data biometrik mesti dilindungi, proses pendaftaran mesti telus dan tindakan penguatkuasaan mesti adil. Masyarakat juga perlu diberikan penjelasan supaya DPP tidak disalahfaham sebagai pemberian hak istimewa kepada pelarian. DPP adalah alat kawalan, pemantauan dan pentadbiran serta instrumen awal untuk menyusun masalah yang terlalu lama berada di luar sistem.
Perlu difahami bahawa pengurusan pelarian tidak boleh diselesaikan dengan mewujudkan provokasi dan tohmahan di media sosial semata-mata. Ia memerlukan dasar tegas, data yang tepat dan pendekatan yang telus.
Justeru, DPP adalah suatu anjakan paradigma yang penting daripada pengurusan yang kabur kepada mekanisme yang lebih berdaulat, tersusun dan bertanggungjawab. Jika dilaksanakan dengan bijaksana maka DPP bukan sahaja membantu kerajaan memantau pelarian tetapi juga memelihara keamanan, keselamatan dan ketenteraman awam negara.
DR. AIZAT KHAIRI ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).










