SHAH ALAM: Selain perasaan teruja, pengguna turut mencadangkan penambahbaikan bagi meningkatkan kualiti dan pengalaman mereka menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Shah Alam.
Seorang penumpang berasal dari Kampung Tunku, Petaling Jaya, Nurhafizah Nazarudin, 40, berkata kewujudan LRT laluan tersebut sememangnya dinanti-nantikan kerana ia akan memudahkan pergerakan dan mengurangkan penggunaan kenderaan peribadi.
“Kenapa kena memandu kalau boleh naik pengangkutan awam, terutama pada waktu puncak yang sesak. Memang memudahkan pergerakan cuma mungkin ada beberapa penambahbaikan boleh dilakukan oleh pihak LRT.
“Antaranya saya harap akan ada koc wanita kerana ketika waktu puncak, ramai pengguna menaiki LRT untuk pergi dan pulang dari tempat kerja. Selain itu mungkin boleh tambah satu lagi koc dan meletakkan pintu keselamatan di platform kerana pengguna memang ramai,” katanya ketika ditemui dalam tinjauan Utusan Malaysia.
Lebih 60,000 pengguna dijangka menggunakan perkhidmatan LRT3 selepas mula beroperasi semalam dan dibuka secara percuma selama sebulan sehingga 31 Julai ini.
Kemudahan itu boleh diakses melalui 20 stesen disepanjang 37.8 kilometer dari Johan Setia, Klang yang menghubungkan dengan Bandar Raya Shah Alam dan Bandar Utama, Petaling Jaya.
Sementara itu, seorang warga emas dari Kepong, Kuala Lumpur, Chong, 69, memberitahu, kemudahan LRT-Laluan Shah Alam itu memudahkan perjalanannya ke restoran kegemarannya di Pasar Klang.
“Setiap bulan saya akan memandu membawa keluarga pergi ke Pasar Klang untuk makan bersama-sama dekat sebuah restoran di sana. Saya sudah tua tidak lagi bekerja hendak buat apa lagi. Bila sudah ada LRT memang lagi senang.
“Tetapi saya minta pihak LRT supaya pasang kipas besar seperti di stesen Transit Aliran Massa (MRT) kerana suasana lebih bahang berbanding MRT,” ujarnya. – UTUSAN











