GUA MUSANG: Penduduk Kampung Sungai Relai di sini gempar apabila melihat seekor harimau belang berjalan melintasi Sungai Relai sebelum kembali memasuki kawasan hutan di semalam.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan sedang menjalankan pemantauan rapi di lokasi terbabit.
Katanya, siasatan lanjut turut dilakukan bagi mengenal pasti pergerakan harimau terbabit dan tahap risiko kepada penduduk sekitar.
“Kita ada menerima laporan mengenai perkara itu selepas video kejadian tersebut tular di media sosial dan pemantauan sedang dijalankan bagi mengesan kehadiran haiwan liar berkenaan.
“Siasatan oleh Perhilitan Daerah Gua Musang mendapati harimau berkenaan dipercayai hanya melintasi kawasan tersebut sebelum kembali ke habitat asalnya. Tiada kelibat harimau ditemui semasa pemeriksaan dijalankan dan tiada laporan gangguan terhadap penduduk diterima sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, orang ramai terutamanya pekebun di kawasan berkenaan perlu sentiasa berwaspada dan bergerak secara berkumpulan.
Katanya, lokasi tersebut dipercayai berada berhampiran kawasan hutan simpan yang menjadi habitat haiwan liar.
Terdahulu, tular video berdurasi lima saat yang memaparkan seekor harimau belang sedang berjalan melintasi Sungai Relai. – UTUSAN










