Pendaratan ikan dijangka merosot, nelayan C2 henti operasi sementara

Pendaratan ikan dijangka merosot, nelayan C2 henti operasi sementara

ADNAN Hussain (tengah) dan Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Khadir Abu Hashim (dua dari kiri) menanam terumbu karang sebagai gimik perasmian sambutan Hari Laut Sedunia 2026 di Pusat Taman Laut Pulau Redang, Kuala Nerus, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Pendaratan ikan tempatan dijangka menurun menjelang hujung tahun ini apabila sebahagian pengusaha bot nelayan laut dalam kategori C2 terpaksa menghentikan operasi sementara susulan peningkatan kos bahan api.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, berdasarkan maklum balas diterima, seramai 57 pengusaha atau 14.25 peratus daripada keseluruhan 400 bot nelayan C2 di negara ini memilih tidak turun ke laut kerana tidak lagi mampu menanggung kos operasi yang semakin meningkat.

Kata beliau, nelayan kategori C2 adalah satu-satunya kumpulan yang tidak menerima subsidi bahan api daripada kerajaan, berbeza dengan nelayan kategori A, B dan C.

“Kos operasi mereka jauh lebih tinggi kerana kawasan tangkapan berada kira-kira 30 batu nautika (55.56 kilometer) dari pesisir pantai. Akibat peningkatan harga bahan api di pasaran global ketika ini, sebahagian daripada mereka mengambil keputusan untuk menghentikan operasi buat sementara waktu,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Laut Sedunia Peringkat Kebangsaan di Pulau Redang, di sini, hari ini.

Adnan berkata, Jabatan Perikanan memahami kesukaran yang dihadapi pengusaha bot nelayan C2 dan memberi jaminan tidak mengambil sebarang tindakan termasuk menggantung lesen mereka sepanjang tempoh tidak beroperasi.

Katanya, walaupun pengeluaran ikan tempatan dijangka sedikit merosot, bekalan hasil laut negara masih berada pada tahap stabil kerana pengurangan itu dapat ditampung oleh nelayan kategori lain serta subsektor akuakultur.

“Kita menjangkakan sedikit penurunan dalam pendaratan ikan, namun bekalan keseluruhan masih mencukupi kerana ia turut disokong oleh pengeluaran daripada sektor akuakultur dan nelayan kategori lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN