TAPAH: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih di sini sejak 24 Mei lalu kini ditumpukan kepada pencarian berdasarkan maklumat dan petunjuk baharu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, operasi yang dilaksanakan pada skala kecil mulai esok itu akan dikawal dan diselaraskan oleh pihak bomba dengan bantuan komuniti setempat dan sukarelawan.
Beliau berkata, pihaknya akan memantau sebarang maklumat atau petunjuk terkini yang boleh membantu usaha mengesan mangsa.
“Kita akan mengambil tindakan sekiranya menerima maklumat atau penemuan baharu, termasuk hadir ke lokasi yang dikenal pasti untuk menjalankan pencarian lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah, Superintenden Abdul Malik Hasim.
Menurut beliau, mana-mana pihak yang ingin terlibat dalam operasi pencarian, termasuk malim gunung atau sukarelawan, perlu melaporkan diri terlebih dahulu kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah sebelum penyertaan mereka diselaraskan bersama Jabatan Perhutanan.
Katanya, ini kerana kawasan pencarian terletak dalam hutan simpan dan tidak boleh dimasuki sewenang-wenangnya tanpa kebenaran dan pemantauan pihak berkuasa.
“Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) telah ditutup dan SAR yang diteruskan oleh pasukan bomba akan dibuka di BBP Tapah. Jadi, jika ada yang mahu terlibat, perlu lapor diri di BBP Tapah,” katanya.
Tambah beliau, komuniti Orang Asli yang sering keluar masuk kawasan hutan berkenaan juga berkemungkinan dapat menyalurkan maklumat sekiranya menemui petunjuk berkaitan kehilangan mangsa.
“Sekiranya mereka mempunyai maklumat atau menemui sebarang petunjuk, mereka akan memaklumkan kepada pihak berkuasa dan tindakan susulan akan dilaksanakan secara bersama,” katanya.
Dalam pada itu beliau memberitahu, setakat hari ini, seramai 23 anggota terdiri daripada pasukan bomba, Jabatan Perhutanan dan Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) telah dibawa keluar dengan selamat menggunakan pesawat Agusta AW139.
“Satu pasukan kecil yang terdiri daripada 10 anggota iaitu lapan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (STORM) dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) dihantar semula ke lokasi bagi melakukan pemeriksaan menyeluruh (sweep) di satu sektor yang dikenal pasti berhampiran puncak Gunung Batu Putih,” katanya. – UTUSAN










