KUALA TERENGGANU: Mahkamah Majistret di sini, hari ini membenarkan polis menahan reman seorang lelaki berusia 24 tahun bagi membantu siasatan kes amang seksual dan rogol yang melibatkan adik kandungnya.
Majistret Noor Mazrinie Mahmood mengeluarkan perintah reman tujuh hari sehingga 29 Jun ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Superintendan Azli Mohd. Noor berkata, suspek yang merupakan abang kandung mangsa ditahan polis malam tadi.
Katanya, menerusi laporan yang diterima daripada seorang remaja perempuan berusia 16 tahun, mangsa mendakwa suspek beberapa kali merogolnya sejak berusia 10 tahun,” katanya di sini.
“Kejadian terbaharu berlaku pada 21 Jun lalu ketika mangsa dan suspek berada di rumah apabila pemuda itu didakwa bertindak melakukan amang seksual fizikal terhadapnya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan tidak kurang 10 kali jika sabit kesalahan,” katanya.
Azli berkata, kes turut disiasat di bawah Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. – UTUSAN










