PETALING JAYA: Perasaan bimbang akan ketinggalan atau fear of missing out (FOMO) dikenal pasti menjadi antara faktor utama yang menyebabkan ramai peminat K-pop menjadi mangsa penipuan pembelian tiket konsert BTS World Tour dengan jumlah kerugian mencecah RM95,974.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, sehingga kini sebanyak 41 laporan polis direkodkan berkaitan penipuan pembelian tiket konsert berkenaan.
Katanya, pemantauan mendapati sindiket penipuan menggunakan pelbagai platform media sosial untuk menawarkan tiket konsert khususnya bagi kategori VIP, Soundcheck dan Priority Access yang mendapat permintaan tinggi.
“Modus operandi yang dikenal pasti termasuk menawarkan tiket sebelum jualan rasmi atau pra-jualan dibuka mendakwa mempunyai akses dalaman atau kuota khas, serta menggunakan tangkap layar palsu sebagai bukti tempahan.
“Mangsa kemudiannya diarahkan membuat bayaran segera melalui pindahan bank, DuitNow atau kod QR kononnya bagi ‘mengunci’ tempahan tiket,” katanya dalam satu kenyataan.
Rusdi berkata, selepas bayaran dibuat, mangsa sama ada tidak menerima tiket yang dijanjikan atau suspek gagal dihubungi.
Sehubungan itu, Rusdi menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan mengambil langkah pencegahan sebelum membuat sebarang pembelian tiket konsert.
“Antara langkah yang disarankan ialah membeli tiket hanya melalui saluran rasmi yang diumumkan oleh penganjur atau ejen jualan sah selain tidak membuat bayaran kepada individu yang menawarkan tiket melalui media sosial tanpa pengesahan,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai dakwaan memiliki akses khas, kuota dalaman atau tiket sebelum jualan rasmi dibuka.
“Orang ramai juga disaran menyemak kesahihan akaun bank dan nombor telefon menerusi portal Semak Mule sebelum melakukan sebarang transaksi,” ujarnya.
Tambahnya, individu yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan perlu segera menghubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 bagi tindakan lanjut.
Rusdi berkata, JSJK akan terus memantau trend penipuan berkaitan penjualan tiket acara hiburan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti berkenaan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak membuat keputusan secara tergesa-gesa yang boleh mengakibatkan kerugian kewangan,” katanya. – UTUSAN










