KAJANG: Seorang pemilik rumah terkejut apabila menemukan mayat di dalam sebuah bagasi ketika melakukan pemeriksaan di rumah sewanya di Taman Impian Indah di sini selepas gagal menghubungi penyewanya beberapa kali.
Mayat wanita itu ditemukan selepas pemilik rumah membuat pemeriksaan di kediaman sewanya yang dalam keadaan kotor dan berbau busuk.
“Saya beberapa kali menghubungi penyewa namun gagal menyebabkan saya pergi ke rumah itu untuk memeriksa dan sebaik masuk saya bau busuk dengan keadaan rumah juga kotor sebelum menemui bagasi itu,” katanya kepada media di sini hari ini.
Pemilik yang enggan dikenali berkata, walaupun mayat itu tidak dapat dikenal pasti namun dia percaya itu adalah penyewa wanita warga Nepal yang berpindah ke flat tiga tiga tingkat itu sejak tiga bulan lalu.
Menurutnya, penyewa wanita itu tinggal di unit itu bersama seorang lelaki dan mereka tidak membayar sewa tepat seperti dijadualkan.
“Rumah itu kotor sebab ada kesan kumbahan dan bau busuk di lantai. Di sudut ruang tamu pula dipenuhi dengan pakaian dan fabrik dan kumbahan bocor dari kotak itu
“Apabila menghampiri kotak itu, saya menemukan sebuah bagasi di dalamnya dan cuba menariknya keluar untuk melihat apa yang ada di dalamnya, tetapi sangat berat,” jelasnya.
Katanya, bagasi tersebut ketika itu kelihatan kembung dan sukar untuk dibuka zipnya.
“Akibat ketakutan, saya segera menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan,”jelasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata, laporan polis berhubung penemuan satu mayat bangsa tidak pasti dan tiada pengenalan diri di sebuah rumah diterima pada pukul 8.37 malam tadi
Katanya, susulan laporan polis itu, sepasukan polis bersama Pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) hadir ke tempat kejadian.
“Hasil pemeriksaan mendapati satu mayat wanita dijumpai di dalam bagasi di ruang tamu sebuah rumah dan telah disahkan meninggal dunia,” jelasnya.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Asisten Superintenden Nur Ayuni Aziz di talian 016-2080717 atau talian 999 bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN










