Disangka bau ikan pekasam, rupanya mayat wanita dalam bagasi

Disangka bau ikan pekasam, rupanya mayat wanita dalam bagasi

BAU busuk yang disangka ikan pekasam, rupa-rupanya datang daripada mayat seorang wanita yang disimpan di dalam bagasi di sebuah unit kediaman di flat Taman Impian Indah di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Bau busuk yang disangka ikan pekasam, rupa-rupanya datang daripada mayat seorang wanita yang disimpan di dalam bagasi di sebuah unit kediaman di flat Taman Impian Indah di sini, hari ini.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Liza, 48, berkata, dia tidak menyangka kejadian penemuan mayat dalam sebuah beg di rumah sewa berlaku berhampiran kediamannya.

Dia yang menetap di kawasan itu sejak kira-kira 22 tahun lalu berkata, penduduk ada menghidu bau yang pelik sejak beberapa hari lalu.

“Memang ada bau yang pelik, macam bau ikan pekasam. Kami ingat ada orang masak ikan pekasam, jadi tak syak apa-apa,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Jelasnya, mayat berkenaan ditemukan selepas tuan rumah datang untuk mengutip sewa yang didakwa sudah tertunggak selama kira-kira sebulan.

“Tuan rumah datang nak kutip sewa. Dia kata penyewa dah sebulan tak bayar. Bila dia buka pintu rumah, dia jumpa mayat yang disimpan dalam beg di dalam rumah,” jelasnya.

Liza memaklumkan, dia  tidak mengenali penyewa rumah berkenaan kerana mereka jarang bergaul dengan penduduk setempat.

“Tak kenal pun. Rumah itu orang keluar masuk. Lelaki dan perempuan ada tetapi kami tidak tahu mereka dari mana. Mereka pun baru menyewa di situ,” jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi jiran yang enggan dikenali berkata, dia tidak pernah terserempak dengan penghuni rumah berkenaan meskipun mereka dipercayai berasal dari negara yang sama.

Menurutnya, dia hanya mengetahui mengenai kejadian itu selepas pihak polis hadir menjalankan siasatan di lokasi penemuan mayat wanita berkenaan.

“Saya dan rakan-rakan baru sahaja menyewa di sini. Saya cuma tahu wanita itu warga asing, tetapi saya tidak pasti sama ada dia benar-benar berasal dari negara yang sama dengan saya. Saya juga tidak pernah berjumpa atau bertegur sapa dengannya,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, bedah siasat terhadap mayat wanita itu masih berjalan dan siasatan menyeluruh juga sedang dilakukan termasuk merakam keterangan pemilik rumah bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Polis sebelum ini mengesahkan penemuan satu mayat, bangsa tidak pasti dan tiada pengenalan diri di sebuah rumah pada pukul 8.37 malam tadi.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN