SETIAP pagi, ribuan pelajar tiba di sekolah dalam suasana yang hampir sama. Kereta berhenti di bahu jalan, motosikal mencelah, van sekolah mengambil penumpang dan pelajar berjalan kaki di antara kenderaan.
Senario tersebut mungkin sudah dianggap biasa, tetapi keadaan tersebut sebenarnya boleh meningkatkan risiko kemalangan.
Langkah Polis Kuala Lumpur mengerahkan lebih ramai anggota trafik ke 122 sekolah menengah awam dan swasta di ibu negara wajar disambut baik. Pemeriksaan motosikal dan lesen memandu serta kawalan aliran trafik menunjukkan bahawa disiplin jalan raya perlu dibentuk sejak awal.
Menurut laporan, sebanyak 41 tangkapan membabitkan pelajar sekolah, kolej dan institusi pengajian tinggi (IPTA) direkodkan bagi kesalahan memandu secara melulu dan berbahaya dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.
Dari sudut keselamatan jalan raya, zon sekolah tidak boleh dianggap sebagai kawasan biasa. Dalam tempoh yang singkat, kereta, motosikal, van, bas dan pejalan kaki berkongsi ruang yang sama.
Apabila pengguna jalan raya tergesa-gesa dan susunan pergerakan tidak teratur, risiko kemalangan meningkat.
Kehadiran anggota trafik adalah langkah penting, tetapi bukan satu-satunya penyelesaian. Ia perlu disokong dengan pengurusan trafik, pendidikan dan penambahbaikan kemudahan di sekitar sekolah.
Di Swindon, United Kingdom (UK) , program School Safe Environment Zones menilai jalan di sekitar 91 sekolah antara 2020 hingga 2025.
Setiap sekolah diberikan tindakan yang berbeza mengikut keadaan setempat.
Antara langkah yang dilaksanakan termasuk kawalan kelajuan, larangan berhenti, lintasan pejalan kaki, lampu amaran dan penutupan sementara jalan tertentu ketika waktu puncak.
Pengajaran pentingnya setiap sekolah mempunyai masalah yang berbeza. Ada yang berdepan kesesakan di pintu pagar dan parkir berlapis. Ada pula yang memerlukan lintasan pejalan kaki lebih jelas, pencahayaan lebih baik atau tempat turun naik penumpang yang lebih teratur.
Langkah pertama adalah menjalankan pemeriksaan keselamatan ringkas ketika waktu masuk dan tamat sesi persekolahan.
Pemeriksaan tersebut perlu melibatkan pihak sekolah, polis dan pihak berkuasa tempatan supaya tindakan dibuat berdasarkan masalah sebenar.
Lokasi menurunkan dan mengambil pelajar juga perlu disusun dengan lebih baik.
Ibu bapa boleh menurunkan anak di lokasi selamat yang terletak sedikit jauh dari pintu pagar. Langkah ini dapat mengurangkan tumpuan kenderaan di hadapan sekolah.
Pendidikan keselamatan jalan raya juga perlu dilakukan secara berterusan.
Pelajar yang menunggang motosikal mesti memahami kepentingan lesen sah, pemakaian topi keledar dan had laju. Ibu bapa pula mesti menjadi contoh.
Sukar membentuk disiplin anak jika orang dewasa sendiri berhenti di lokasi larangan atau membuat pusingan berbahaya di hadapan sekolah.
Kejayaan inisiatif ini tidak wajar diukur melalui jumlah saman semata-mata. Ukuran lebih bermakna ialah pengurangan kesalawhan wberulang, aliran trafik yang lebih teratur dan suasana yang lebih selamat untuk pelajar.
Zon sekolah tidak sepatutnya diberi perhatian hanya selepas berlaku kemalangan. Jadikan ia selamat sekarang, sebelum ada keluarga yang menanggung penyesalan.
Ir. Dr. Nordiana Mashros ialah Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidikan Turapan dan Pengangkutan, Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)










