TELUK INTAN: Pemandu lori yang terlibat dalam nahas mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pada Mei tahun lalu, hari ini dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan memindahkan dua ekor lembu curi.
Majistret Naidatul Athirah Azman memutuskan untuk tidak memanggil Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, untuk membela diri atas pertuduhan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie dalam kes tersebut.
Mahkamah juga menetapkan supaya wang jaminan bernilai RM3,000 dipulangkan kepada tertuduh.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah memindahkan harta curi iaitu seekor lembu jantan berwarna hitam baka KK Cros dan seekor lembu jantan berwarna putih baka Brahman milik seorang lelaki warga emas berusia 66 tahun daripada tempat asalnya di sebuah kebun dekat Kampung Keli Sungai, Hutan Melintang.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Kampung Kebun Baru, Hutan Melintang pada pukul 6 petang, 14 April 2025.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan, penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Darwis Aghniya Halim Azizi manakala tertuduh diwakili peguam Mohd. Hafizudin Khan Norkhan dan Nur Intan Syakieraah Zakaria.
Seramai lima saksi pendakwaan dipanggil sejak hari pertama perbicaraan kes itu berlangsung bermula 15 Oktober lalu.
Sementara itu, difahamkan proses perbicaraan kes tertuduh bagi pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian sembilan anggota FRU pada 13 Mei tahun lalu masih berjalan dan dijangka akan disambung semula pada penghujung Oktober ini. – UTUSAN










