Pelayan restoran dipenjara enam tahun, bersalah perdagang remaja perempuan

Pelayan restoran dipenjara enam tahun, bersalah perdagang remaja perempuan

NUR Aisyah Udin dijatuhkan hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen Tawau hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memperdagang seorang remaja perempuan bagi tujuan eksploitasi seks. UTUSAN/NASRAWATI SYARIFUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Seorang pelayan restoran dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memperdagang seorang remaja perempuan bagi tujuan eksploitasi seks.

Tertuduh, Nur Aisyah Udin, 20, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

Mengikut pertuduhan, wanita berkenaan didakwa memperdagangkan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun bagi maksud eksploitasi seks di sebuah inap desa di Jalan Masjid Fajar, di sini, kira-kira pukul 5.30 petang, 2 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu dalam prosiding itu, tertuduh dilihat menangis ketika merayu supaya hukuman terhadapnya dikurangkan atas alasan dia menanggung ibu dan adiknya yang masih bersekolah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam kerana mengambil kesempatan terhadap kesusahan hidup mangsa demi kelangsungan hidup tertuduh.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam tahun terhadap tertuduh. Telefon bimbit dan resit hotel yang menjadi barang kes diperintah untuk dilupuskan, manakala wang tunai RM150 dikembalikan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, tertuduh turut dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan masuk ke Malaysia tanpa memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman penjara itu berjalan secara berasingan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN