RANTAU PANJANG: Selepas mencetuskan perhatian susulan kesesakan luar biasa akibat kehabisan buku pas sempadan sejak beberapa hari lalu, suasana di Pejabat Imigresen Rantau Panjang di sini, semalam kembali terkawal.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, urusan membuat buku pas sempadan itu kembali tenang selepas ramai pemohon berebut mendapatkan pas sempadan bagi urusan keluar masuk ke negara jiran.
Seorang pengunjung dari Jeli, Salma Sulung, 48, berkata, dia tiba seawal pukul 8 pagi di sini selepas beberapa kali pulang kecewa kerana gagal mendapatkan pas sempadan susulan kehabisan buku.
“Sebelum pejabat imigresen buka, sudah ramai yang beratur. Saya ambil nombor giliran ke-76. Syukur kali ini berjaya selepas beberapa kali gagal.
“Pada Selasa lalu saya ke pusat transformasi bandar (UTC) tetapi dimaklumkan buku pas sempadan habis. Saya pulang kecewa kerana datang jauh dari Jeli. Semalam saya cuba pula di Pejabat Imigresen Gua Musang, tetapi buku pas sempadan habis juga,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Salma berkata, selepas mengetahui urusan permohonan di Rantau Panjang dibuka semula, dia bersama keluarga terus bergegas ke lokasi berkenaan bagi mencuba nasib sekali lagi.
Sementara itu, Nor Azilawati Matbun, 53, berkata, dia lega apabila keadaan di pejabat imigresen itu jauh lebih terkawal berbanding situasi sesak yang tular sebelum ini.
Katanya, meskipun menerima nombor giliran ke-86 dan dimaklumkan hanya dipanggil selepas pukul 2 petang, urusan permohonan berjalan lebih pantas daripada jangkaan.
“Saya dapat siap lebih awal kerana tidak sesak seperti yang tular kelmarin. Proses kali ini juga lebih mudah kerana tak perlu isi borang. Ambil nombor giliran, bawa gambar pasport ke kaunter dan pihak imigresen uruskan semua,” ujarnya.
Sebelum ini tular kesesakan orang ramai yang terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan buku pas sempadan bagi memudahkan urusan keluar masuk ke Thailand. – UTUSAN










