PETALING JAYA: Pas bersedia untuk bertempur di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal diadakan tidak lama lagi susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) itu semalam.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, partinya sudah bersedia untuk menghadapi PRN Johor berikutan persiapan yang dibuat lebih awal termasuk pelancaran jentera pada April lalu.
Katanya, Pas akan memasuki medan tersebut menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) dan bekerjasama dengan parti-parti yang mahu mengalahkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu.
“Insya-Allah akan bertanding di semua kerusi DUN atas lambang PN, setakat ini. Esok (hari ini) ada mesyuarat tentang perkara ini, buat setakat ini Pas menyatakan komitmen kepada PN.
“Dalam masa sama, kita bersedia untuk bekerjasama dengan parti-parti yang sudi untuk bertanding dengan BN dan PH, cuma segala keputusan akhir akan dimaklumkan dari masa ke semasa,” katanya.
Semalam, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan perkara itu dalam satu sidang akhbar khas yang diadakan di kediaman rasmi beliau, di Johor Bharu.
Perkara itu telah diperkenankan Sultan Johor, Sultan Ibrahim selepas menghadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pada pagi semalam.
Sementara itu Khairul Nadzir berkata, DPP berharap supaya calon yang akan ditampilkan oleh Pas terdiri daripada golongan muda bagi memenuhi harapan pengundi terutama kumpulan belia.
Katanya, sokongan pengundi muda pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu jelas menunjukkan peningkatan berbanding PRN Johor pada 2022.
“Contohnya, semasa PRN Johor lalu yang turun mengundi sekitar 53 peratus dan semasa PRU pula lebih daripada 65 peratus. Dari aspek sokongan kepada PN pula, waktu PRN memang kami duduk di tempat kedua selepas PH tetapi semasa PRU, undi kepada PN tersangat melonjak di Johor.
“Jadi sudah semestinya yang melonjakkan undi kami semasa PRU lalu adalah anak muda, jadi saya memang sangat berharap calon-calon yang bakal ditampilkan oleh PN adalah yang berkaliber dan muda,” katanya. – UTUSAN










